Thursday, April 15, 2010

Motivasi: Kamu lupa asah kapak.

Motivasi: Kamu lupa asah kapak

Jangan lupa asah ~ picture by Aliisza of Deviant Art

Sampai satu tahap dalam kehidupan, selepas kita mengharunginya dengan penuh kesungguhan dan kegigihan, kita akan melanggar dinding kepenatan. Kita rasa seakan keletihan. Tiba-tiba rasa lemah. Tiba-tiba hilang kekuatan. Kita lihat prestasi kita menurun. Kita nampak kualiti kita merendah. Tertanya-tanya kita akan sebabnya. Lantas kita usaha melipat gandakan usaha, menambah amal, tetapi apa yang terjadi adalah penurunan.
 
turun dan semakin turun.
 
Kenapa?

Kerana kita lupa mengasah ‘kapak’ kita.

Kisah Si Pemotong Pokok

Terdapat seorang pemotong pokok, bersama kapaknya yang sangat tajam. Dia hendak bekerja mencari makan. Maka dia pergi bertemu dengan seorang tuan kepada tanah yang dipenuhi banyak pokok. Tuan tanah itu memerlukan orang untuk menebang pokok.
 
Maka bermulalah kerjanya. Hari pertama dia berjaya menumbangkan 30 batang pokok. Dia memulakan hari keduana dengan gembira. Juga 30 batang pokok berjaya ditumbangkan.Tuan Tanah gembira. Pemotong pokok juga senang hati. Esoknya dia berjanji hendak datang lagi. Namun perkara mengejutkan berlaku pada hari ketiga. Dia hanya mampu memotong 20 batang pokok sahaja. Si Pemotong kehairanan. Dia tidak merasa staminanya menurun. Maka dia berkata kepada Tuan Tanah: “Esok, saya akan potong lebih banyak lagi.” Dia berazam melipatgandakan usaha. Namun, hari keempat, dia hanya mampu memotong 10. Lebih sedikit dari hari yang ketiga, walaupun dia berusaha telah lebih kua. Dia merasa tidak senang dengan prestasinya. Maka sekali lagi dia berjanji dengan Tuan Tanah: “Esok, saya pasti akan memperbaiki prestasi saya” Pada hari kelima, dia bermati-matian berusaha. Namun mengejutkan, setiap pokok yang hendak dipotongnya memakan masa yang amat lama. Di akhir hari, dia hanya mampu menebang 5 batang pokok sahaja.

Dia menangis di akhir hari itu. Menghentam-hentam dirinya dengan pertanyaan: KENAPA?
Tuan Tanah yang melihat Si Pemotong itu, datang mendekatinya dan bertanya:
“Apakah kamu mengasah kapak kamu?”
Ketika itu Si Pemotong tersentak.
Ya, dia tidak mengasah kapaknya!

Kapak dalam kehidupan kita

Di dalam kehidupan kita, kapak dalam cerita tadi boleh didefinasikan sebagai ‘daya keimanan’.

Sampai satu tahap, selepas mengharungi pelbagai jenis halangan, cabaran dan dugaan, akan muncul satu dugaan di dalam kehidupan kita. Itulah dia dugaan ‘rasa penat, rasa lemah, rasa tak bermaya’ untuk melaksanakan kerja.

Kita perasaan akan masalah ini bila ianya berlaku. Tetapi biasanya, langkah penyelesaian yang diambil oleh kita adalah silap. Kita biasanya akan bertindak untuk melipat gandakan usaha, menambah lagi berat atas kehidupan kita dan sebagainya.

Kita terlupa untuk melihat punca sebenarnya.

Daya keimanan. Apakah sumber daya itu kita lihat kembali?

Kenapa tidak mampu lagi membaca Al-Quran dengan banyak? Kenapa tidak mampu lagi solat dengan khusyu’? kenapa tidak mampu lagi menundukkan pandangan? Kenapa tidak mampu lagi istiqomah atas kebaikan? Kenapa rasa tidak mampu memikul kebaikan sepanjang amalan kehidupan?

Kerana daya keimanan kita menumpul. Yang menolak manusia, hamba kepada Allah SWT untuk kekal taat kepada-Nya yang Ghaib itu, untuk mengejar pahala pemberian-Nya yang tidak kelihatan itu, hanyala dengan keimanan. Bila keimanan menumpul, maka kekuatan untuk beramal juga menurun.

Menghidupkan Daya Keimanan

Bila kita perasan akan hal ini, penurunan kualiti dan prestasi kita sebagai hamba Allah SWT, maka langkah untuk menghidupkan semula keimanan itu perlu diambil. 

Antara yang utama adalah kembali memerhatikan hubungan dengan Allah SWT. Muhasabah dan membuat pengisian. Sebab itu, kata-kata yang masyhur daripada sahabat Rasulullah SAW, antaranya adalah: “Mari duduk sebentar dan beriman” Bukanlah beriman itu sebentar sahaja. Tetapi dalam waktu yang sebentar itu, keimanan itu di’recharge’ kembali untuk dibawa mengalir pada segenap kehidupan, segenap kerja dan amalan.
 
Sebab itu, kadangkala jiwa ini perlu kembali di’recharge’ dengan pengisian-pengisian. Perlu wujud tempat perhentian untuk kita mengambil ‘bekalan’. Antara cara lain adalah duduk bersama rakan-rakan yang soleh. Lakukan program bersama seperti Solat Subuh berjemaah bersama mereka, sarapan pagi bersama, qiamullail bersama, dalam kadar yang sederhana seperti seminggu atau dua minggu sekali. Berziarah bertemu mereka juga satu bentu ‘tambahan’ kekuatan.

Penutup: Maka perhatikan kapak kalian

Dalam hidup kita, kita perlu menebas jahiliyyah. Bila hendak beramal, kita perlu menebas kemalasan, hasutan, godaan dan sebagainya. Hendak taat kepada Allah, kita perlu menebas syaitan dan cinta kepada hawa nafsu.

Kita memerlukan kapak kita.

Justeru, jangan kita lupa mengasahnya. Kekuatan tidak akan terbina dengan tiba-tiba. Pasti ada sumbernya. Maka bila kekuatan kita punya masalah, maka lihatlah akan sumbernya. Jangan biarkan rawatannya lewat. Nanti diri sendiri akan merana.

No comments: