Sunday, April 4, 2010

Kepentingan Berdoa

Solat adalah ibadat yang paling utama di dalam Islam.
Islam itu unik, indah dan sempurna. Maka sudah tentulah apa yang terkandung di dalamnya juga penuh dengan keunikan, keindahan dan kelebihan. Namun, tidak semua keindahan dan keunikan itu dapat dilihat dengan mata kasar. Ada di antaranya yang perlu diselami dengan mata hati yang hanya dimiliki oleh insan-insan yang sentiasa menjaga hatinya dari titik-titik hitam, menggilap hatinya dengan zikrullah dan disinari hatinya dengan makrifatullah.
Minggu ini, kami mengajak pembaca menggali dan menghayati satu lagi khazanah dan hikmah di sebalik kejadian Allah yang telah dirakamkan oleh Sheikh Ibnu Atoillah al Sakandari r.a dalam kalam hikmahnya: “Tatkala Allah mengetahui timbul dari diri kamu perasaan jemu, Dia mempelbagaikan untuk kamu amalan ketaatan.

“Tatkala Dia mengetahui di dalam diri kamu wujud kerakusan, maka Dia mengehadkannya ke atas kamu pada waktu-waktu tertentu untuk menjadikan keinginan kamu itu mendirikan solat bukannya mengadakan solat. Tidak semua yang solat itu mendirikan solat”.Allah SWT dengan limpahan sifat kemurahan dan kasih sayang-Nya mengurniakan kepada hamba-hamba-Nya pelbagai amalan ketaatan untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

Tergopoh-gapah
Ini kerana Allah mengetahui hamba-Nya akan jemu jika melakukan sejenis ketaatan kerana menjadi tabiat nafsu merasa jemu dengan mengulang-ulang perkara yang sama. Seorang penyair pernah mengungkapkan: “Nafsu tidak akan dapat diperbaiki apabila ia ditadbir (diatur); melainkan dengan memindahkannya atau mengalihkannya dari satu keadaan kepada satu keadaan yang lain”.
Dengan adanya pelbagai amalan ketaatan yang disediakan, apabila seseorang itu jemu melakukan solat sunat maka dia boleh beralih melakukan amalan zikir. Apabila dia jemu berzikir dia boleh membaca al-Quran, berpuasa, bersedekah dan sebagainya. Zikir itu pula mempunyai bermacam-macam jenis.

No comments: