Wednesday, April 21, 2010

Cerpen : Keinsafan Seorang Anak


Cerpen : Keinsafan Seorang Anak
Penulis : Amin Al-Kalantani
 Pada suatu pagi yang bening ketika insan bangkit daripada tidur untuk menunaikan solah subuh, terdapat sekeluarga yang masih dalam kecelaruan dan penuh dengan misteri. Keluarga tersebut ialah kepunyaan Encik Hasyim dan Puan Hasmah bersama dengan anak tunggalnya yang dikasihi, Ammar Syah.
“Bang tengoklah anak awak ni!” jerit Pn Hasmah pada suaminya yang sedang berada di ruang tamu. En Hasyim yang sedang membelek buku-buku pejabatnya bergegas ke bilik anaknya.
“Apahal pulak dengan anak kita ? Awak  ni betul-betul mengejutkan saya!” dia cuba mendapatkan kepastian daripada Pn. Hasmah.
“Hah tengoklah anak awak ni. Malas benar dia nak pergi sekolah! Dah pukul 7.30 pagi masih dalam kain selimut” Puan Hasmah kelihatan kesal dan kecewa di atas perlakuan anak tunggalnya, Ammar Syah. Sikap Ammar semasa sekolah rendah masih terbawa-bawa hinggalah dia sudah berada di tingkatan 5. Muka Encik Hasyim mula berubah. Merah padam! Langkah garang diatur segera ke katil anaknya yang sedang asyik melayan tidur.
“Ammar, bangun! Kau tak tahu ke tahun ni kau nak ambik SPM? Nak jadi apa engkau ni?” tengking Encik Hasyim dengan bengis sambil menarik kuat selimut anaknya. Dia kelihatan kurang senang dengan perangai anaknya yang masih belum berubah-ubah. Ammar selalu sahaja ponteng dan malas ke sekolah.Entahlah, mungkin perangainya ini dan sebati dalam diri anak tunggalnya ini.
“Alah ayah nie……Tak sportinglah! Tak pergi ke sekolah jarang-jarang tu biasalah!” Ammar menarik kembali selimutnya dan tidur membelakangi ayahnya tanpa memberi respond yang diharapkan. Encik Hasyim mengeleng-ngeleng kepala dan melangkah ke arah Puan Hasmah dengan perasaan berserabut. Dia seperti hilang punca. Kalau nak diikutkan hati maunya menempeleng Ammar tapi…….tak sampai hati pula. Dia cuba mengcongak hari-hari yang anak tunggalnya tidak pergi ke sekolah. Sudah banyak!…..Entah seminggu atau sebulan….
“Macamana nak buat ni bang? Takkan nak biarkan begini sahaja! Fikirkanlah cara nak buat..”soal Puan Hasmah kepada suaminya mengharap agar ada satu tindakan drastik terhadap anak tunggal mereka. Kerut-kerut kekesalan jelas terpapar pada wajahnya. Sebelum ini dia yang terkenal sebagai Setiausaha Persatuan Wanita sibuk ke sana kemari dengan mesyuarat. Duduk di rumah pun kadang-kadang sahaja. Masa tak menentu. Anaknya tidak diurus langsung hanya diberikan wang sebagai bekalan. Lebih parah lagi Encik hasyim yang juga selaku ketua keluarga sibuk dengan syarikatnya. Tiada masa baginya untuk bersama dengan anak dan isterinya di rumah.
Duka mula bercambah

“Ini semua salah awak. Asyik sangat dengan mesyuarat! Anak kita terbiar tanpa pengawasan. Awak tak ambil peduli langsung dengan anak kita!” bentak En. Hashim cuba menunding kesalahan kepada isterinya.
“Ewah, ewah…pandai awak menunding jari kepada saya seorang. Awak cuba tilik diri awak. Banyak mana yang awak ada kat rumah?!” Pn. Hasmah tidak mahu beralah. Baginya sikap anaknya Ammar, tidak boleh di salah seratus peratus kepadanya. Suaminya juga sepatutnya juga dipersalahkan.
“Ah…bisinglah rumah ni!” bentak Ammar bingkas bangun dari tidur. Dia lantas mencapai baju dan seluar jeansnya. Melilau mencari kunci motorsikalnya.
“Ammar! Kau nak kemana tu?..ayah tak habis cakap lagi..kau dah lari. Apa nak jadi engkau ni Ammar!” En.Hashim mengeleng-ngeleng kepala kekesalan. Salah dia juga tak ambil perhatian langsung dengan anak tunggalnya. Bagi dirinya, apa yang penting dapat bagi duit dan kemewahan kepada anak kesayangannya sudah mencukupi. Yang lain serah kepada dirinya sendiri nak menentukan jalan kehidupannya.
Ajal Maut di Tangan Tuhan
“Ammar….ayah dan ibu terpaksa menghadiri satu lawatan ke luar negara. Ammar jaga diri baik-baik tau. Dengar cakap nenek. SPM sudah dekat.  Jangan main-main.” Pesan Pn. Hasmah kepada anaknya Ammar.
“Mak…mak tolong nasihat-nasihatkan lah Ammar tu…kami dah tak tahu macamana cara nak ubah sikap dia…”Rayu Pn.Hasmah kepada ibunya, Mak Kiah.
“Mah…melentur buluh biar dari rebungnya lagi..Kalau dah besar panjang susah kita nak melenturnya…Kau dan Hasyim kena banyak berdoa lepas solat. Ni, aku lihat kau berdua culas benar nak solat. Kadang-kadang buat, kadang-kadang terlepas! Dah tu pula nak pergi bersiar-siar ke luar negara. Anak dibiarkan!”..Mak Kiah berleter kepada anaknya. Terasa juga kekesalan dalam dirinya. Anaknya Hasmah juga tidak berjaya dididik dengan baik.
“Mak..ni. Kita minta tolong dia…dia pula nak ceramah kita!” Hasmah mencebik lantas menukar topik.
“Mak. Nanti sepanjang ketiadaan kami ni. Mak tolonglah tengok-tengokkan Ammar. Kami dah tinggalkan duit secukupnya sepanjang dua minggu ni untuk dia. Untuk mak kami masukkan dalam akaun nanti.”…Hasmah seolah-olah merayu kepada Mak Kiah.
“Yalah-yalah. Mak akan cuba yang sedaya termampu! Tapi ingat…kau berdua kena banyak-banyak berdoa. Jangan alpa nak menunaikan solat fardhu. Kewajipan-kewajipan lain-lain pun kena buat. Nanti tak berkat rezeki dan hidup kita ni!”..Mak Kiah memesan dengan ikhlas. Harap anaknya Hasmah dan menantunya Hasyim dengarlah nasihatnya.
“Oklah mak…kami cuba! Maklumlah kadang-kadang sibuk sangat mak…” ringkas jawapan En.Hashim.
Sudah seminggu lebih En.Hashim dan Pn.Hasmah berlepas ke luar negara. Anak mereka, Ammar semakin liar.
“Ammar…nenek nak cakap sikit ni….”Mak Kiah cuba juga hendak nasihatkan cucunya ini.
“Nek..ada apa ya…Kalau pasal SPM , Ammar dah tak nak dengar. Malas dah…sekolah Ammar dah tak minat! Hari ni last Ammar pergi sekolah”..Ammar menjawab spontan. Harapannya Mak Kiah tak berleter panjang.
“Tak boleh mir…SPM dah dekat…lagi tak sampai sebulan…macam mana Ammar  nak jawab nanti!”…
“Ammar dah tak minat nak ambik SPM! Duit dah banyak buat apa nak belajar lagi. Ayah dan mak dah carikan apa susah!” Ammar menjawab.
Pangg!!! Tamparan singgah di muka Ammar.
“Jangan cakap macamtu, Ammar!” Mak Kiah hilang sabar dengan sikap cucunya yang seorang ni. Benar-benar menguji dirinya.
“Ah..nenek pun dah tak suka dengan Ammar! Tak apalah!!
—-
Ammar! Pengetua minta ko ke bilik dia sekarang juga!..seorang pengawas menyampaikan arahan Pengetua sekolah.
Ada apa ni? Aku tak buat salah apa-apalah…
Alah pegi ajerlah…
Di bilik pengetua, Ammar tergangam.
Dilihatnya neneknya menangis teresak-esak.
Di bilik itu ada pengetua dan guru kelasnya.
Sah, nenek dah buat aduan kepada pengetua yang aku ni tak nak ambik SPM. Bisik hati kecilnya.
“Nenek…kenapa buat Ammar macamni…malu lah Ammar!”
“Ammar…bersabar dulu…duduk dulu!” Pengetua mengeluarkan arahan.
“Diharap awak bawa bertenang dan sabar.”
Lain macam jer pengetua ni.
“Ibu dan ayah awak kemalangan di luar negara! Mereka berdua sudah……..” Pengetua macam susah nak sebut…
“Mereka berdua telah meninggal!!”
Berderau darah Ammar…Betulkah begini jadinya?….Ah…mereka berdua memang tak ambil peduli pasal diriku…biarlah…..mereka pergi..senang
Ammar pantas keluar dari bilik pengetua. Jiwanya bertambah kosong…sekosong kasih sayang yang hilang…..
Sinar Keinsafan
“Ammar…tolong ayah Ammar…tolong…….”
“Ammar tolong ibu, Ammar…tolong…….”
“Tidakkk!!!!!!……..”
Ammar berpeluh lebat. Sudah tiga malam berturut-turut mimpi yang sama bermain dalam tidurnya.
Mimpi ngeri melihat wajah ayah dan ibunya.
Apakah petanda ini…Jiwanya menjadi tidak keruan…tidak menentu….resah…gelisah…
“Ammar, kenapa menjerit tadi?”
“Tak nek. Saya bermimpi ibu dan ayah lagi. Mereka di siksa penuh ngeri. Mereka minta tolong dengan Ammar!”
“Ammar!…Walaupun ayah dan ibumu tidak sepenuhnya mencurahkan kasih sayang kepadamu. Tapi ingatlah Allah SWT Maha Pengasih dan Penyayang telah mengurniakan seorang ayah dan seorang ibu kepada engkau! Sekarang Allah SWT telah menarik nikmat kedua-duanya.”
Ammar terkedu mendengar luahan iklhas dari neneknya. Dia kini sedang mencari-cari akan dirinya yang sebenarnya…Ya…apa yang ku dambakan sebelum ini ialah kasih sayang kedua orang tuaku. Perhatian…dan belaian ibubapa kepada anakknya.
“Namun, Ammar…Ingatlah Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang begitu menyayangimu berbanding kedua ibubapamu walau mereka menyayangimu sebesar gunug manapun!”
Fikirannya terawang-awang dengan nasihat neneknya. Mula mencari dirinya yang sebenar. Siapa aku yang sebenarnya?
“Ammar, nenek bercadang nak hantar Ammar ke pondok di Pantai Timur. Di samping belajar, kita sama ikuti kelas agama di sana. SPM tetap juga Ammar ambil kat sana ya!”
Ammar menganguk-angguk tanda setuju. Dia mesti mecari identiti dirinya yang sebenar.
Kasih sayang Allah pada Hambanya
“Kehidupan dunia ini…hanyalah sementara sahaja. Dunia ini merupakan tempat kita menyiapkan bekalan.
Jangan sekali-kali kita terpesona dengan nikmat dunia yang menipu.
Lihatlah ibu dan ayah kita yang pergi dulu.
Mampukah mereka membawa segala harta kemewahan mereka ke dalam kubur?
Harta yang mampu dibawa bersama ialah harta yang bermanfaat di jalan Allah SWT.
Ingatlah bahawa keredhaan Allah SWT terletak kepada keredhaan kedua bapamu.
Walaubagaimana sekalipun bapa dan ibumu terhadapmu, cintailah mereka yang telah bersusah payah mengandungkan mu dan mencari sesuap nasi kepadamu.” Nasihat tuan guru mengalir laju seperti sungai yang bersih mengalirkan kotoran pekat dalam jiwa si pendengar.
Tanpa diduga, mengalir air panas daripada kelopak mata Ammar. Terasa rindu dan bersalah kepada orang tuanya.
Sebelum ini, dia seorang pendendam. Dendam dengan ibu ayahnya yang tidak mencurahkan kasih sayang sejati kepadanya.
Namun dengan tazkirah yang cukup lazat dan manis daripada Tuan Guru mampu melunakkan hatinya yang keras seperti batu menjadi selunak dan selembut sajli.
Air matanya tidak tertahan-tahan lagi..Kenapa keinsafan ini menuntut pengorbanan yang cukup besar. Hadirnya setelah hilang ibu dan ayah di sisi.
Dalam diam, Ammar bertekad untuk menjadi anak yang soleh. Masih tergiang dan segar diingatannya…
Ada 3 perkara yang akan menjadi bekal manusia :
  1. Doa Anak yang soleh
  2. Harta yang bermanfaat
  3. Ilmu yang bermanfaat
InsyaAllah dia akan cuba menjadi anak yang soleh…mudah-mudahan Allah menolong kedua ibubapanya di alam barzah. InsyaAllah SPM akan datang dihadapi dengan penuh persiapan sebagai hadiah untuk keduanya.
Mak Kiah tersenyum puas.. Termakbul juga doanya…Jauh dilubuk hatinya…Inilah tanda kasih sayang Allah…walaupun Dia mengambil ibu dan ayahnya…Allah memulangkan anaknya ke landasan Iman. Walau berbeza alam, kasih sayang mereka kembali bertaut dan bersatu dalam Kasih Sayang Allah.

No comments: