Sunday, April 4, 2010

Untaian Hadith..

Kepentingan Berdoa

Solat adalah ibadat yang paling utama di dalam Islam.
Islam itu unik, indah dan sempurna. Maka sudah tentulah apa yang terkandung di dalamnya juga penuh dengan keunikan, keindahan dan kelebihan. Namun, tidak semua keindahan dan keunikan itu dapat dilihat dengan mata kasar. Ada di antaranya yang perlu diselami dengan mata hati yang hanya dimiliki oleh insan-insan yang sentiasa menjaga hatinya dari titik-titik hitam, menggilap hatinya dengan zikrullah dan disinari hatinya dengan makrifatullah.
Minggu ini, kami mengajak pembaca menggali dan menghayati satu lagi khazanah dan hikmah di sebalik kejadian Allah yang telah dirakamkan oleh Sheikh Ibnu Atoillah al Sakandari r.a dalam kalam hikmahnya: “Tatkala Allah mengetahui timbul dari diri kamu perasaan jemu, Dia mempelbagaikan untuk kamu amalan ketaatan.

“Tatkala Dia mengetahui di dalam diri kamu wujud kerakusan, maka Dia mengehadkannya ke atas kamu pada waktu-waktu tertentu untuk menjadikan keinginan kamu itu mendirikan solat bukannya mengadakan solat. Tidak semua yang solat itu mendirikan solat”.Allah SWT dengan limpahan sifat kemurahan dan kasih sayang-Nya mengurniakan kepada hamba-hamba-Nya pelbagai amalan ketaatan untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

Tergopoh-gapah
Ini kerana Allah mengetahui hamba-Nya akan jemu jika melakukan sejenis ketaatan kerana menjadi tabiat nafsu merasa jemu dengan mengulang-ulang perkara yang sama. Seorang penyair pernah mengungkapkan: “Nafsu tidak akan dapat diperbaiki apabila ia ditadbir (diatur); melainkan dengan memindahkannya atau mengalihkannya dari satu keadaan kepada satu keadaan yang lain”.
Dengan adanya pelbagai amalan ketaatan yang disediakan, apabila seseorang itu jemu melakukan solat sunat maka dia boleh beralih melakukan amalan zikir. Apabila dia jemu berzikir dia boleh membaca al-Quran, berpuasa, bersedekah dan sebagainya. Zikir itu pula mempunyai bermacam-macam jenis.

Solat qada’

Solat qada’ adalah hutang yang wajib dibayar

Siapa yang makan cili, dia lah yang merasa pedas. Mungkin ada yang terasa bila aku menulis tentang hukum meninggalkan solat. Tujuannya tidak lain tidak bukan, hanyalah sebagai pengingat (tazkirah) kepada diri sendiri dan para pembaca yang dirahmati Allah s.w.t sekalian.Solat qada’ ialah solat yang dikerjakan selepas keluar dari waktunya.

Hukum qada’ solat
Meninggalkan solat fardhu atau melengah-lengahkannya tanpa apa-apa uzur hingga terkeluar dari waktunya adalah berdosa besar, dan wajib diqada’kan solat itu. Para ulama menghukumkan wajib qada’ solat bagi orang yang meninggalkan solat dengan sengaja berdasarkan kepada orang yang ada uzur syar’ie diwajibkan qada’ solatnya oleh Nabi s.a.w. Apatah lagi orang yang tiada keuzuran syar’ie sudah tentu lebih-lebih lagi wajibnya. Tetapi dosa itu pula tidak terhapus dengan qada’ semata-mata, mestilah disertakan dengan bertaubat kepada Allah s.w.t. Seseorang yang meninggalkan solat fardhu pada waktunya kerana sengaja, maka wajiblah dia qada’ solatnya dengan segera.

Solat fardhu yang tertinggal kerana uzur seperti tertidur atau terlupa yang bukan kerana kecuaian maka sunat disegerakan qada’nya. Maksud kecuaian di sini ialah seperti tidur dalam waktu dan lupa yang disebabkan oleh leka dengan perkara-perkara yang tidak dituntut oleh syarak.

Menurut Ibnu Haja al-Haitami, Orang yang meninggalkan solat tanpa uzur, WAJIB menggunakan seluruh waktunya untuk mengerjakan qada’ solatnya kecuali waktu untuk menguruskan hajatnya yang wajib yang tidak dapat dielakkan, seperti tidur, buang air, mencari nafkah, dan sebagainya.
Haram baginya mengerjakan solat sunat sebelum diqada’kan solatnya. Tetapi menurut Habib Abdullah al-Haddad pula, Orang yang meninggalkan solat tadi diberi kelonggaran untuk mengerjakan qada’ solat fardhunya mengikut kemampuan dan kelapangan masanya, tanpa memberatkan dan tanpa pula meringan-ringankan kewajipan qada’ itu sendiri. Kemudian Syed Abdul Rahman Balawi telah bersetuju dengan pendapat Habib Abdullah al-Haddad, dengan berkata, Inilah pendapat yang terlebih utama berbanding dengan pendapat para fuqahak yang mewajibkan orang yang meninggalkan solat tadi menggunakan seluruh waktunya untuk qada’ solatnya kecuali waktu untuk menguruskan hajatnya yang wajib. Beliau berkata demikian kerana pendapat para fuqahak tersebut amat membebankan sekali.

Cara Qada’ Solat
Adalah diwajibkan mendahulukan qada’ solat yang ditinggal tanpa uzur daripada solat tunai (solat pada waktu) sekiranya tidak dibimbangi habis waktunya. Tetapi sekiranya solat qada’ yang ditinggal itu adalah kerana uzur maka hanya sunat sahaja mendahulukan qada’ daripada tunai.
Adalah diwajibkan juga mendahulukan qada’ solat yang ditinggal tanpa uzur daripada solat yang ditinggalkan dengan uzur. Begitu juga wajib mendahulukan qada’ solat yang ditinggal tanpa uzur daripada solat sunat rawatib tetapi sekiranya solat qada’ yang ditinggalkan itu kerana uzur maka hanya sunat sahaja mendahulukan solat qada’ daripada solat sunat rawatib. Kemudian lagi disunatkan qada’ solat itu menurut tertib waktu solat seperti diqada’kan Zuhur sebelum Asar,  dan begitulah seterusnya. Malahan tertib itu sunat dipelihara walaupun waktu-waktu qada’ solat itu diselangi atau terputus oleh tempoh masa yang lama.

Walau apa pun, ingatlah – hutang WAJIB dibayar. Wallahu a’lam.


Nama-nama Syaitan Dalam Al-Fatihah

 
Nama-nama Syaitan Dalam Al-Fatihah

Semoga boleh dimanfaatkan Al-Fatihah adalah satu rukun dalam solat, apabila cacat bacaannya maka rosaklah solat. Oleh itu perbaikilah bacaannya dengan ilmu tajwid. Bukan setakat bacaannya saja rosak malah kita menyebut nama syaitan di dalam solat kita. Berikut diperturunkan nama syaitan laknat yang wujud didalam Al-Fatihah, sekiranya kita tidak berhati-
hati. Nama syaitan;

1. DU LI LAH (bila dibaca tiada sabdu) sepatutnya DULILLAH
2. HIR ROB (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya HI ROB
3. KIYYAU (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya KI YAU
4. KANNAK (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya KA NAK 

5. KANNAS (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya KA NAS
6) Iya (disebut tanpa sabdu) sepatutnya Iyya. Iya bermaksud 'matahari' Dalam ayat ke 5,jika salah  bacaannya akan bermaksud "kepada mataharilah yang kami sembah dan kepada matahari kami meminta pertolongan"!!!!  
7) SIROTHOLLAZI............. sehingga habis hendaklah dibaca tanpa henti.
8) AMIN ...............hendaklah mengaminkan Al-Fatihah dengan betul iaitu AA......dua harakat, MIN .... 3 harakat, semoga Amin kita bersamaan dengan Amin malaikat .....

Perang Jamal



Sekalipun aliran Syi`ah telah diharamkan di Malaysia, sebahagian daripada ajaran mereka masih tersebar luas. Di antaranya ialah berkenaan sejarah para sahabat, dimana banyak buku-buku tempatan yang memuatkan kisah tersebut berdasarkan versi Syi`ah. Sejarah versi Syi`ah mudah dikenali, ia bersifat pro kepada Ali bin Abi Thalib serta ahli keluarganya dan bersifat kontra kepada para sahabat yang lain. Kisah-kisah sejarah versi Syi`ah telah mendapat tempat yang kukuh dalam pemikiran umat Islam tanah air sejak di bangku sekolah sehingga dianggap ia adalah fakta yang benar.

Aisyah memberontak kepada Ali?
Antara sejarah versi Syi`ah yang masyhur adalah Perang Jamal merupakan pemberontakan yang diketuai oleh Aisyah ke atas Ali bin Thalib. Kenyataan ini memerlukan penelitian semula: Benarkah Perang Jamal adalah satu gerakan pemberontakan ke atas Ali yang diketuai oleh Aisyah?
Perang Jamal bermula apabila Aisyah, Thalhah dan al-Zubair radhiallahu ‘anhum serta orang-orang yang bersama mereka pergi ke Basrah selepas pengangkatan Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh menjadi khalifah umat Islam. Semua ini berlaku selepas pembunuhan Amirul Mukminin Usman bin Affan radhiallahu ‘anh. Melihatkan pemergian Aisyah dan pasukannya, Amirul Mukminin Ali turut pergi ke Basrah bersama pasukannya. Apabila menghampiri Basrah, kedua-dua pasukan ini telah bertembung dan dengan itu berlakulah satu peperangan yang dinamakan Perang Jamal. Ia dinamakan sedemikian kerana Aisyah berada di atas unta (Jamal) ketika peperangan tersebut.

Dalam peristiwa ini, timbul dua persoalan. Yang pertama, kenapakah Aisyah dan pasukannya bergerak ke Basrah? Al-Qadhi Ibn al-Arabi rahimahullah (543H) menerangkan bahawa orang ramai mengemukakan beberapa pendapat. Ada yang berkata mereka keluar kerana ingin melucutkan Ali daripada jawatan khalifah. Ada yang berkata mereka benci kepada Ali. Ada yang berkata mereka ingin mencari para pembunuh Usman. Ada yang berkata mereka keluar untuk menyatu-padukan semula umat Islam. Di antara semua pendapat ini, yang benar adalah yang terakhir. Al-Qadhi Ibn al-Arabi menegaskan:

“Mungkin mereka keluar demi keseluruhan umat Islam, mengumpulkan dan menyatu-padukan mereka kepada undang-undang yang satu (Islam) agar tidak berlaku kebingungan yang akan mengakibatkan peperangan. Dan inilah pendapat yang benar, tidak yang lainnya.” [al-`Awashim min al-Qawashim fi Tahqiq Mawaqif al-Shahabah ba’da Wafati al-Nabi (diteliti oleh Muhib al-Din al-Khatib; Dar al-Jil, Beirut, 1994), ms. 155]

Sebelum itu hal yang sama ditegaskan oleh al-Imam Ibn Hazm rahimahullah (456H):
“Dan adapun (pemergian) Ummul Mukminin (Aisyah), al-Zubair dan Thalhah radhiallahu ‘anhum berserta orang-orang yang bersama mereka (ke Basrah), tidaklah mereka sedikit jua bertujuan membatalkan kekhalifahan Ali, mereka tidak mencabar jawatan tersebut, mereka tidak menyebut apa-apa kecacatan yang merendahkan beliau daripada jawatan tersebut, mereka tidak bertujuan mengangkat khalifah baru yang lain dan mereka tidak memperbaharui bai`ah kepada sesiapa yang lain. Ini adalah sesuatu yang tidak dapat diingkari oleh sesiapa jua dengan apa cara jua.

Kebenaran yang sebenar yang tidak memiliki apa-apa permasalahan padanya adalah mereka tidak pergi ke Basrah untuk memerangi Ali atau menentangnya atau mencabut bai`ah daripadanya ……yang benar mereka berangkat ke Basrah tidak lain untuk menutup (daripada berlakunya) perpecahan yang baru dalam Islam disebabkan peristiwa pembunuhan yang zalim ke atas Amirul Mukminin Usman radhiallahu ‘anh.” [al-Fishal fi al-Milal wa al-Ahwa’ wa al-Nihal (diteliti oleh Ahmad Syams al-Din; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1996), jld. 3, ms. 83]
Berdasarkan penerangan di atas, jelas kepada kita bahawa dalam pemergiannya ke Basrah, Aisyah radhiallahu ‘anha tidak memiliki tujuan berperang atau memberontak terhadap Ali radhiallahu ‘anh. Ini membawa kita ke persoalan kedua, jika demikian kenapakah kedua-dua pasukan ini bertembung dan berperang?

Kenapakah berlakunya Perang Jamal?
Al-Imam Ibn Hazm melanjutkan, pasukan Ali turut ke Basrah bukan untuk memerangi pasukan Aisyah tetapi untuk bersatu dengan mereka, menguatkan mereka dan menyatukan umat Islam dalam menghadapi peristiwa pembunuhan Usman. [al-Fishal, jld. 3, ms. 83]
Akan tetapi pada waktu yang sama wujud juga orang-orang yang sebelum itu terlibat dalam pembunuhan Usman. Mereka menyamar diri dengan berselindung di kalangan umat Islam. Apabila melihat Aisyah dan pasukannya pergi ke Basrah, mereka menyalakan api fitnah kononnya pemergian tersebut adalah kerana perpecahan daripada kekhalifahan Ali. Namun apabila para pembunuh Usman mendapat tahu bahawa pasukan Aisyah dan Ali telah bersatu, mereka menjadi bimbang lagi cemas. Ini kerana selagi mana umat Islam berpecah, selagi itulah para pembunuh Usman terselamat daripada apa-apa tindakan. Sebaliknya jika umat Islam bersatu, pasti kesatuan tersebut akan memudahkan tindakan diambil ke atas para pembunuh Usman.

Maka para pembunuh Usman merancang untuk melagakan kedua-dua pasukan tersebut. Pada awal pagi ketika hari masih gelap, mereka menyerang pasukan Aisyah. Dalam suasana terperanjat daripada tidur yang lena, pasukan Aisyah menyangka bahawa pasukan Ali telah berlaku khianat dan menyerang mereka. Sebagai tindakan mempertahankan diri sendiri (self defense), mereka menyerang balas ke atas pasukan Ali. Pasukan Ali pula menyangka pasukan Aisyah telah berlaku khianat dan menyerang mereka. Dengan itu mereka menyerang balas, juga sebagai tindakan mempertahankan diri sendiri. Tanpa disangka-sangka, bermulalah Perang Jamal sekali pun kedua-dua pihak pada asalnya tidak memiliki apa-apa tujuan berperang.
Al-Hafiz Ibn Katsir rahimahullah (774H) memperincikan detik-detik yang mengakibatkan bermulanya Perang Jamal:

“Orang-orangpun merasa tenang lagi lega …… pada waktu malamnya kedua-dua pihak bermalam dalam keadaan yang sebaik-baiknya. Akan tetapi para pembunuh Usman melalui malam tersebut dalam keadaan yang seburuk-buruknya. Mereka berbincang dan bersepakat untuk mengobarkan peperangan pada awal pagi esoknya. Mereka bangun sebelum terbit fajar, jumlah mereka menghampiri seribu orang. Masing-masing kelompok bergabung dengan pasukannya lalu menyerang mereka (pasukan Aisyah) dengan pedang. Setiap golongan bergegas menuju kaumnya untuk melindungi mereka. Orang-orang (pasukan Aisyah) bangun dari tidur dan terus mengangkat senjata. Mereka berkata: “Penduduk Kufah (pasukan Ali) menyerbu kita pada malam hari, mereka mengkhianati kita!”

Mereka (pasukan Aisyah) mengira bahawa para penyerang itu berasal dari pasukan Ali. Suasana hura hara tersebut sampai ke pengetahuan Ali, lalu beliau bertanya: “Apa yang terjadi kepada orang ramai?” Mereka menjawab: “Penduduk Basrah (pasukan Aisyah) menyerang kita!”
Maka kedua-dua pihak mengangkat senjata masing-masing, mengenakan baju perang dan menaiki kuda masing-masing. Tidak ada seorang jua yang menyedari apa yang sebenarnya terjadi.” [al-Bidayah wa al-Nihayah (diteliti oleh Ahmad `Abd al-Wahhab; Dar al-Hadith, Kaherah, 1997), jld. 7, ms. 227]

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) meringkaskan detik-detik ini dalam satu perenggan:
“Mereka (para pembunuh Usman) menyerang khemah Thalhah dan al-Zubair. Lalu Thalhah dan al-Zubair menyangka bahawa Ali telah menyerang mereka, maka mereka menyerang kembali untuk mempertahankan diri (self defense). Seterusnya Ali pula menyangka bahawa mereka (Thalhah dan al-Zubair) menyerangnya, maka Ali menyerang kembali untuk mempertahankan diri. Maka berlakulah fitnah (peperangan) tanpa ia menjadi pilihan mereka (kedua-dua pihak).
Manakala Aisyah radhiallahu ‘anha hanya berada di atas pelana untanya, beliau tidak menyerang dan tidak memerintahkan serangan. Demikianlah yang diterangkan oleh tidak seorang daripada para ilmuan dalam bidang sejarah (Ahl al-Ma’rifat bi al-Akhbar).” [Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah fi Naqd Kalam al-Syi`ah wa al-Qadariyyah (diteliti oleh M. Rasyad Salim; Muassasah Qurtubiyyah, 1986), jld. 4, ms. 317]
Demikianlah penjelasan para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah berkenaan Perang Jamal. Kembali kepada persoalan asal pada permulaan artikel ini: Benarkah Perang Jamal adalah satu gerakan pemberontakan ke atas Ali yang diketuai oleh Aisyah? Penjelasan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menjadi jawapan kepada persoalan asas ini, sekali gus sebagai penutup kepada artikel ini:
“Sesungguhnya Aisyah tidak diperangi dan tidak pergi untuk berperang. Sesungguhnya beliau pergi hanya untuk kebaikan umat Islam. Beliau menjangkakan pada pemergiannya terdapat kemaslahatan kepada umat Islam. Kemudian sesudah itu jelas baginya bahawa meninggalkan pemergian tersebut adalah lebih tepat. Maka setelah itu apabila sahaja beliau mengingat kembali pemergiannya itu, beliau menangis sehingga membasahi kain tudungnya.” [Minhaj al-Sunnah, jld. 4, ms. 316]

Allahu a’lam bisshawab.
- Pendirian Aisyah Dan Para Sahabat Di Sebalik Perang Jamal.

Siapakah Orang Yang Paling....??

Siapakah orang yang paling sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s

Siapakah orang yang paling manis senyumannya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang paling kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang paling miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.

Siapakah orang yang paling rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan...

Siapakah orang yang paling paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.

Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka.

Fikir...Fikir..oh Fikirlah...

Perang Yarmuk

KEHEBATAN tentera Islam pada zaman Rasulullah dicatatkan dalam Peperangan Yarmuk pada tahun ke-13 Hijrah antara tentera Rom dan Islam.

Peperangan itu membuktikan jumlah tentera yang ramai bukan senjata terkuat bagi mengalahkan musuh. Peperangan itu membuktikan keazaman, ketaqwaan dan semangat jitu untuk mempertahankan agama Allah menjadi penentu segala-galanya.


Peperangan Yarmuk tercatat sebagai peristiwa gilang gemilang dalam sejarah Islam. Dalam peperangan pada Jamadilakhir itu, 100,000 tentera Rom kalah kepada tentera Islam yang hanya 30,000 orang.

Panglima Islam terbilang, Khalid Al Walid dan Abu `Ubaidah memimpin pasukan Islam. Kemenangan berpihak kepada tentera Islam.

Ada pandangan yang mengatakan peperangan itu berlaku pada Rejab tahun ke-15 Hijrah.

Di sebalik kemenangan itu, turut tercatat bagaimana Islam begitu menghormati hak musuh. Mereka yang ditawan tidak dilayan seperti musuh atau hamba, sebaliknya hak mereka tidak dicabul.

Pekerti yang ditunjukkan pemimpin dan pengikut Islam itu membuatkan musuh yang menentang Islam menerima agama Allah ini dengan hati reda. Islam jelasnya adalah agama keamanan.

Kisah itu dicatat dalam peristiwa seorang panglima Rom bernama George mendapat petunjuk kepada agama Islam.

Dalam peperangan Yarmuk, George dikisahkan memanggil Khalid Al-Walid. Kedua-dua panglima itu saling mara hingga kepala kuda mereka bersentuhan.

George bertanya: “Wahai Khalid, aku meminta kamu berbicara dengan jujur dan jangan berdusta sedikit pun kerana Tuhan Yang Maha Mulia tidak pernah berdusta.

“Jangan pula kamu menipuku, kerana sesungguhnya orang yang beriman itu tidak akan berdusta di sisi Allah.”

Khalid menjawab: “Tanyalah apa yang ingin engkau tanyakan.”

George berkata: “Apakah Allah menurunkan kepada Rasulnya, Muhammad SAW satu pedang dari langit kemudian diberikannya kepadamu hingga jika kamu gunakan pedang itu untuk berperang, pasti kamu akan menang?”

Jawab Khalid: “Tidak!”

George bertanya lagi: “Apakah sebabnya kamu digelar Saifullah (Pedang Allah)?”

Khalid menjawab: “Ketika Allah mengutus Nabi Muhammad, seluruh kaumnya sangat memusuhinya, termasuk aku. Aku adalah orang yang paling membencinya.

“Selepas Allah memberikan hidayah-Nya kepadaku, maka aku pun masuk Islam. Ketika aku masuk Islam Rasulullah menerimaku dan memberi gelaran kepadaku `Saifullah’ (pedang Allah).”

George bertanya lagi: “Jadi apa tujuan kamu berperang?”

Jelas Khalid: “Kami ingin mengajak kamu bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu adalah utusan Allah.

“Kami juga ingin mengajak kamu untuk mempercayai bahawa segala apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad itu adalah benar.”

George kemudian mengemukakan soalan kepada Khalid: “Apakah hukumannya apabila orang itu tidak mahu menerimanya?”

Balas Khalid: “Hukumannya adalah harus membayar jizyah, maka kami tidak akan memeranginya.”

George berkata: “Bagaimana kalau mereka tidak mahu membayar?”

“Kami akan mengumumkan perang kepadanya,” kata Khalid.

George bertanya: “Bagaimanakah kedudukannya jika orang masuk Islam pada hari ini?”

Khalid menjawab: “Di hadapan Allah, kita akan sama semuanya, baik dia orang yang kuat, orang yang lemah, yang dulu atau yang kemudian masuk Islam.”

George bertanya lagi: “Apakah orang dulu masuk Islam kedudukannya akan sama dengan orang yang baru memeluk Islam?”

Khalid menjawab: “Orang yang datang kemudian akan lebih tinggi kedudukannya daripada orang yang terdahulu kerana kami yang terlebih dulu masuk Islam, menerima Islam ketika Rasulullah masih hidup dan kami dapat menyaksikan turunnya wahyu kepada Baginda.

“Sedangkan, orang yang masuk Islam kemudian, tidak menyaksikan apa-apa yang kami saksikan.

“Oleh itu, sesiapa saja yang memeluk Islam yang datang terakhir, maka dia akan lebih mulia kedudukannya, sebab dia masuk Islam tanpa menyaksikan bukti yang lebih meyakinkannya terlebih dulu.”

George bertanya: “Apakah yang kamu katakan itu benar?”

“Demi Allah, sesungguhnya apa yang aku katakan itu adalah benar,”jawab Khalid.

George berkata: “Kalau begitu aku akan percaya kepada apa yang kamu katakan itu. Mulai saat ini aku bertaubat untuk tidak lagi memusuhi Islam dan aku menyatakan diri masuk ke dalam agama Islam, wahai Khalid tolonglah ajarkan aku mengenai Islam.”

Lalu Khalid membawa George ke dalam khemahnya, kemudian menuangkan air ke dalam timba untuk menyuruh George bersuci dan mengerjakan solat dua rakaat.

Ketika Khalid dan George masuk ke dalam khemah, maka tentera Rom mengadakan serangan besar-besaran terhadap pertahanan umat Islam.

Selepas selesai mengerjakan solat, Khalid, George dan kaum Muslimin lainnya meneruskan peperangan sampai matahari terbenam. Pada saat itu kaum Muslimin mengerjakan solat Zuhur dan Asar dengan isyarat saja.

Dalam pertempuran itu, George yang bergabung dengan barisan kaum Muslimin itu terbunuh.

Allahu a’lam bisshawab.
Sumber:Berita Harian,2005