Showing posts with label Renungan. Show all posts
Showing posts with label Renungan. Show all posts

Friday, September 9, 2011

Ada Hikmahnya..

~Wahai hati, bertabahlah. kerana dunia hanya tempat mengutip kepahitan untuk ditebus dengan manisnya Syurga~


Sekadar perkongsian yang diharapkan bermanfaat bersama. Petikan dari La Tahzan, karangan Dr. Aidh al-Qarni.

Orang cerdik akan berusaha merubah kerugian menjadi keuntungan. Sedangkan orang yang bodoh akan membuat suatu musibah menjadi bertumpuk dan berlipat ganda.

Ketika Rasulullah s.a.w diusir dari Makkah, beliau memutuskan untuk menetap di Madinah dan kemudian berhasil membangunnya menjadi sebuah negara yang sengat akrab di telinga dan mata sejarah. 

Ahmad Ibnu Hambal pernah dipenjara dan dihukum dera, tetapi kerananya pula ia kemudian menjadi imam salah satu mazhab. Ibnu Taimiyyah pernah dipenjara, tetapi justeru di penjara itulah ia banyak melahirkan karya. As-Sarakhsi pernah dikurung di dasar sumur bertahun-tahun, tetapi di tempat itulah ia berhasil mengarang buku sebanyak 20 jilid. 

Begitulah, ketika tertimpa suatu musibah, anda harus melihat sisi yang paling terang darinya. Ketika seseorang memberi anda segelas air lemon, anda perlu menambah sesendok gula ke dalamnya. Ketika mendapat hadiah seekor ular dari orang, ambil saja kulitnya yang mahal dan tinggalkan bahagian tubuhnya yang lain. Ketika disengat kala jengking, ketahuilah bahwa sengatan itu sebenarnya memberikan kekebalan kepada tubuh anda daripada bisa ular. 
Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu.
(Surah Al-Baqarah: 2;216)
Ya, entah kenapa kadang-kadang terfikir sendiri bahawa saya suka minum air sirap limau yang seimbang masam dan manisnya. Limau tanpa gula akan hanya ada masamnya, namun, kitalah yang menjadikan ia manis dengan menukar rasa masam menjadi sesedap minuman bersama gula.

Lalu, marilah kita kembali kepada-Nya. Kerana kita hanya bahagia bila Allah bersama kita. Biarpun seluruh dunia ingin memusuhi kita, tidak akan ada walaupun satu jarum sekalipun yang mampu mencederakan kita tanpa izin Allah. Dan pasti apa yang dikehendaki oleh-Nya atas kita ada hikmah yang tersembunyi.

Dan yakinlah serta percaya bahawa orang-orang yang diuji itu adalah orang-orang yang dicintai oleh Rabbnya.
Dan apabila Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan mendatangkan cubaan ke atas mereka. Dan barangsiapa redha dengan ujian itu, maka dia akan memperoleh keredhaan-Nya, dan barangsiapa membencinya, maka Dia akan memperoleh kebencian-Nya."
(Hadith Riwayat At-Tirmidzi)
Maka, apakah kita tidak suka jika Allah mengingati kita? Apakah kita tidak suka jika Allah mencintai kita? Tanyalah sedalam-dalamnya pada hati.

~Wahai Tuhan kami, cukupkan hati ini dengan-Mu~

Yakin dan Percaya Walau Lelah..

~ For You I would take on any trial, and I would walk on through fire. You give me strength enough to face it all. You make me feel invisible.  Cos I would do anything for You - Sami Yusuf- ~
Ada kalanya rasa amat kelelahan. Menjadi manusia 'multitasker', membahagikan tugas antara memberi dan juga menerima.

Memberi untuk mereka yang memerlukan pertolongan. Untuk mereka yang memerlukan cahaya petunjuk menuju-Nya. Memberi untuk meringankan beban mereka. Memberi untuk memakmurkan bumi dan menjadi khalifah-Nya yang memegang amanah.


Menerima. Itu amat perlu. Kerana air yang mengalir keluar itu pasti ada punca mata airnya. Kerana setiap yang diberi perlulah dengan hati. Dan pemberian dengan hati yang diterima-Nya adalah daripada hati yang suci, hati yang bening sentiasa mengharapkan keredhaan-Nya.


Adakala ingin menangis sendiri apabila terasa kelelahan. Namun, dengan segera hati mengingatkan bahwa kelelahan inilah yang akan dibayar dengan Syurganya nanti.


Untuk membeli Syurga yang terlalu mahal dan kekal selamanya itu, perlukan pembelian seluruh jiwa, harta dan diri ini.


Dan di kelelahan ini mungkin mengingatkan bahawa hati belum cukup mendapatkan sumber kekuatan. Kekuatan untuk terus menyucikan hati. Kekuatan untuk terus berlari dan terus berpijak di bumi. Kekuatan untuk menjadi seperti pohon yang tinggi menjulang ke langit tetapi akarnya masih terus menghujam jauh ke dalam bumi Keimanan.


Tiada siapa yang mampu memberi kekuatan melainkan Allah.

Tiada siapa yang mampu mengerti kelelahan yang tersemat di hati melainkan Allah.
Tiada siapa yang mampu meringankan kaki untuk terus bangun daripada tersungkur jatuh melainkan Allah.
Tiada siapa yang mampu mengerti kepenatan di sebalik senyuman.

Namun, yakinlah Allah akan memberi erti yang bermakna pada senyuman itu.

Yakinlah bahawa Allah akan sentiasa membantu.
Yakinlah bahawa Allah akan sentiasa membukakan pintu memudahkan.
Yakinlah bahawa Allah sentiasa gembira melihat hamba-Nya yang berpenat lelah kerana-Nya.
Yakinlah bahawa Allah sentiasa menitipkan kasih sayang pada hamba-hamba-Nya yang sedang mengejar redha-Nya.
Yakinlah bahawa apabila Allah mencintai seorang hamba, maka seluruh makhluk di Bumi dan di Langit juga akan mencintainya.

Yakin dan percaya.

Kerana sesungguhnya orang-orang beriman itu sentiasa percaya kepada Penciptanya.

'Wahai orang-orang beriman! Apabila dikatakan kepadamu, "Berilah kelapangan di dalam majlis-majlis," maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan, "Berdirilah kamu, " maka berdirilah, nescaya Allah akan mengangkat (darjat) orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Dan Allah Maha Teliti apa yang kamu kerjakan.'
(Al-Mujadilah; 58: 11)
~Wahai Tuhan, sesungguhnya diri ini amat lemah. Tiadalah kekuatan bagi diri yang kerdil ini melainkan apa yang telah Engkau kurniakan.~

Tuesday, August 23, 2011

IKTIBAR bersama..

Iktibar dan renungan bersama dalam kehidupan 

Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain
kafan untuk di jual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan
seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk
bertaubat kepada Allah s.w.t.
Dia berkata, "Sepanjang aku menggali kubur untuk mencuri kain kafan,
aku telah melihat 7 perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut.
Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji dan
ingin sekali bertaubat."

"Yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat.
tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam, aku lihat
wajahnya membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi begitu wahai tuan guru?"
 tanya pemuda itu.

"Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah
s.w.t sewaktu hidupnya.Lantaran Allah s.w.t menghinakan mereka dengan
memalingkan wajah mereka dari menghadap kiblat, bagi membezakan mereka
daripada golongan muslim yang lain. " jawab ahli ibadah tersebut.

Sambung pemuda itu lagi,"Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka
sangat elok semasa dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala malam hari
ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mereka telah pun
bertukar menjadi khinzir. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?"

Jawab ahli ibadah tersebut,"Wahai anak muda, mereka itulah golongan
yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya
solat merupakan amalan yang pertama di hisab. Jika sempurna solatnya,
maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain,"

Pemuda itu menyambung, " Wahai tuan guru, golongan yang ketiga yang aku
lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Pabila
waktu malam bila aku mebggali mayatnya, perutnya terlalu gelembung,
keluar ulat yang terlalu banyak daripada perutnya,"
"Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak
muda," balas ahli ibadah itu lagi.

"Golongan ke empat, ku lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu
bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?"
Jawab ahli ibadah itu,"Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang
derhaka kepada kedua ibubapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya
Allah s.w.t sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai
ibu bapanya.

"Ku lihat mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit
seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya," sambung
pemuda itu.
"Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturahim.
Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur
sapa lebih dari 3 hari. Bukankah Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah
termasuk dari golongan umat baginda," jelas ahli ibadah tersebut.

"Wahai tuan guru, golongan ke enam yang ku lihat, sewaktu siangnya
lahadnya kering kontang, Bila malam lahadnya dipenuhi air hitam yang
busyuk baunya,"
"Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya"
jawab ahli ibadah.

"Wahai tuan guru, golongan yang terakhir yang ku lihat, mayatnya
sentiasa tersenyum dan berseri-seri wajahnya, mengapa demikian halnya
wahai tuan guru," tanya pemuda itu lagi.
Jawab ahli ibadah tersebut,"Wahai pemuda, mereka itulah golongan
manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu
hayatnya. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi
Allah s.w.t baik semasa hayatnya mahupun sewaktu sesudah matinya."

Ingatlah sesungguhnya daripada Allah s.w.t kita datang dan kepadaNYA
jua lah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawab diatas segala
perbuatan kita. Wallahualam.....

Tuesday, August 9, 2011

Semoga Ramadhan Kali Ini Tidak Rugi Lagi..


Ramadan umpama bulan bonus atau bulan durian runtuh bagi para peniaga juadah. Ada peniaga yangyang kata berniaga sebulan bulan Ramadhan boleh menampung keperluan hidup keluarga untuk tempoh setahun.
Memang diperakukan bahawa Ramadan memang bulan pesta, bulan bonus, bulan Mega sales dan aneka macam mega tetapi bukan dalam bentuk pesta melambakkan pelbagai juadah di meja makan, lebih-lebih lagi hingga sampai ke tatap menyumbang kepada pembaziran.
Sebaliknya, Ramadan adalah bulan Allah SWT melelong, membuat Mega sales dan memberi bonus pahala berganda kepada hamba-hamba-Nya yang mengambil kesempatan daripada berkatnya Ramdaan untuk bertaubat nasuha dan memperbanyakan ibadah dengan ganjaran berganda berbanding denganbulan-bulan biasa.
Rugi benar kalau kita tidak rebut peluang yang Allah sediakan sepanjang Ramadan. Kerana pahala itu tidak nampak seperti keuntungan berniaga di pasar ramadhan. Orang berebut-rebut untuk dapatkan tapak pasar malam, tetapi tidak berebut-rebut untuk dapatkan tempat di majlis-majlis ilmu, zikir, dan majlis agama yg lain. Bukan salah berniaga, bahkan ia sunnah, tetapi tidak lagi menjadi sunnah andai solat asar dan maghrib tergadai akibat sibuk dengan persiapan.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa (Surah Al-Baqarah 2 : Ayat 183) 


Road To Ramadhan
i)   Lazimi solat berjemaah setiap waktu di masjid dan beri'tikaf di masjid.
ii)  Baca al-Quran sejuzuk sehari.
iii) Puasa sunat Isnin Khamis.
iv) Perbanyakkan ibadah sunat seperti qiamullail, sedekah, berzikir dan sebagainya.
v)  Tinggalkan perbualan atau percakapan yang sia-sia.
vi) Bangun awal 30 minit sebelum waktu solat Subuh.

Sumber : Iluvislam.com