Friday, April 16, 2010

Siri Dakwah 02

02 Di Jalan Dakwah .... Kita Perlukan Bekalan      

Setiap orang yang bermusafir mestilah mempunyai bekalan yang diperlukan di dalam perjalanan. Dengan itu, dia menyediakan sebab-musabab yang membolehkan dia meneruskan perjalanan agar dapat menuju matlamatnya. Dia juga membuat pertimbangan terhadap apa yang akan berlaku di dalam perjalanannya. Kemungkinan berlaku sesuatu yang menghadang jalannya dan menghalangnya meneruskan perjalanannya. Adakalanya berlaku suatu yang menjauhkannya dari matlamat atau sekurang-kurangnya mencacatkan perjalanannya.

Jalan da'wah adalah segala-galanya di dalam kehidupan seorang da'i kepada Allah, ia adalah jalan yang paling utama untuk diberikan perhatian. Mestilah ada bekalan yang memelihara dari terpesong, terhalang, terhenti, terbantut atau tergelincir di jalan; hingga menyebabkan kerugian yang nyata dan hilangnya kebaikan dan kejayaan yang besar.

Pertama sekali, bekalan ini terdapat di dalam keimanan yang kuat dan ketaqwaan kepada Allah. Ini merupakan bekalan yang terbaik. Setelah itu, bantuan-bantuan lain seperti persahabatan yang baik dan pembimbing yang menunjukkan pengalaman dan percubaan, serta lain-lain perkara-perkara yang dapat memperbaharui keupayaan dan keazaman, dan mengelakkan dari penyelewengan dan kesalahan.

Dalil yang menunjukkan kepada kemestian dan kepentingan bekalan ini ialah: Jika sesebuah kereta yang digunakah oleh orang yang bermusafir kehabisan minyak ketika perjalanan dan tidak mempunyai minyak yang mencukupi, maka jadilah ia seperti potongan-potongan besi yang tidak dapat membantunya untuk bergerak walaupun selangkah. Demikianlah juga orang yang mengharungi jalan da'wah, apabila bekalan iman dan taqwanya berkurangan atau kehabisan tanpa diperbaharui atau ditambah, maka jadilah ia seperti jenazah yang kaku atau or­ang yang sakit dan tidak berdaya untuk bergerak. Benarlah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya?.....
(Surah Al-An'am: Ayat 122)

Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Dia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepada-Nya lah kamu akan dihimpunkan.......(Surah Al-Anfal: Ayat 24)

Bekalan iman dan taqwa kepada Allah ini terpancar dari sumber yang baik di dalam jiwa dan melahirkan tenaga, menaikkan semangat dan keazaman. Maka pergerakan menjadi mudah, tarikan keduniaan berkurangan, halangan dapat ditempuhi, liku-liku boleh diharungi dan petunjuk di sepanjang jalan jelas kelihatan. Lahirlah kebenaran, keikhlasan, keazam­an, keteguhan dan juga mewujudkan pencapaian yang hampir menyerupai mu'jizat dapat dibuktikan di jalan da'wah.

Perkara pertama yang kita perlukan di jalan da'wah ialah perasaan ma'iyatullah (merasakan diri sentiasa bersama Allah) dalam setiap langkah, gerak-geri dan diam bahkan pada setiap detik. Sesiapa yang Allah bersama dengannya, ia tidak akan kehilangan sesuatu pun. Sesiapa yang Allah tidak bersama dengannya, maka ia tidak mendapati melainkan kehilangan dan kesesatan. Allah Subhanahu wa Ta'ala menganugerahkan ma’iyatullah ini kepada mu'min yang bertaqwa dan ihsan. Allah Subhanahu wa Ta'ala telah berfirman:

Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki 'amalannya. (Surah Al-Nahl: Ayat 127-128)


Di dalam ayat yang lain:

Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang beriman.  (Surah Al-Anfal: Ayat 19)
Di dalam ayat yang lain pula:

Dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. (Surah At-Taubah: Ayat 36)

Di jalan da'wah ini kita sangatlah memerlukan nur Ilahi untuk menerangi jalan agar dapat direntasi dengan cara yang bijaksana tanpa ada kegelinciran di selekoh-selekoh yang menjauhkan atau halangan-halangan yang membantutkan perjalanan. Ini dapat dilaksanakan - InsyaAllah – dengan bekalan taqwa dan iman; bertepatan dengan firman Allah

Subhanahu wa Ta'ala:

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada Rasul-Nya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian dari rahmat-Nya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari qiamat kelak), serta diampun-kannya dosa kamu; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani...(Surah Al-Hadid: Ayat 28)


Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar)...........................................(Surah Al-A'raf: Ayat 201)
Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. (Surah Al-An'am: Ayat 153)


Sentiasalah berada di atas jalan da'wah, agar kita berupaya memberi kesan dan mengubah suasana kebatilan dengan menegakkan kebenaran, wajiblah kita merasai erti kemuliaan, kekuatan, ketinggian dan menghapuskan segala erti kelemahan, kegagalan dan kehinaan. Perkara ini tidak dapat dijelmakan melainkan dengan bekalan iman:

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman......................................................................................(Surah Ali-'Imran: Ayat 139)


padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi Rasul-Nya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafiq itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).................................................(Surah Al-Munafiqun: Ayat 8)

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)..........(Surah Ali-'Imran: Ayat 110)


Amat perlu sekali berada di atas jalan da'wah, kita merelakan diri untuk berjihad dan berkorban dengan seluruh apa yang dimiliki dari jiwa, harta, tenaga, fikiran dan waktu tanpa teragak-agak. Ianya tidak dapat dilakukan melainkan dengan bekalan iman yang menyebabkan diri seseorang itu lebih mengutamakan apa yang di sisi Allah dan menganggap segala yang mahal sebagai suatu yang murah di jalan Allah.

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan Taghut (Syaitan) ..........................(Surah An-Nisa': Ayat 76)


Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh .......................(Surah At-Taubah: Ayat 111)

Di jalan ini kita mengalami pelbagai kesakitan dan ujian, itulah sunnatullah di dalam da'wah. Tiada apa yang dapat membantu untuk kita menanggung dan bersabar di atas apa yang menimpa melainkan bekalan iman dan taqwa.

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu. Dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya)................................................(Surah Ali-'Imran: Ayat 186)


Inilah ucapan para Rasul ketika berhadapan dengan penindasan kaum kafir:

Dan mengapa pula kami tidak berserah diri kepada Allah padahal Dia telah menunjukkan jalan untuk tiap-tiap seorang dari kami menjalaninya? Dan demi sesungguhnya, kami akan bersabar terhadap segala perbuatan kamu menyakiti kami. Dan dengan yang demikian, maka kepada Allah jualah hendaknya berserah diri orang-orang yang mahu berserah.
(Surah Ibrahim: Ayat 12)

Inilah juga ungkapan tukang sihir Fir'aun selepas mereka beriman dan diancam oleh Fir'aun:

Mereka menjawab: Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang telah datang kepada kami dari mu'jizat-mu'jizat yang terang nyata, dan (tidak akan mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia. Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya diampunkan-Nya kesalahan-kesalahan kami, dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami melakukannya. Dan Allah jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahala-Nya..............................................................(Surah Taha: Ayat 72-73)


Di atas jalan da'wah, kita amat memerlukan kepada keteguhan dan ketetapan daripada Allah. Lantas, tiada lagi rasa teragak-agak dan syak. 'Amalan dan kewajipan tidak lagi dijauhkan diabaikan sekalipun berat atau banyak. Allah Subhanahu wa Ta'ala menganugerahkannya kepada orang yang beriman:

Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat.

(Surah Ibrahim: Ayat 27)

Ya Allah! Tetapkan dan teguhkanlah pendirian kami di atas jalan Engkau.

Di jalan da'wah, para penda'wah berhadapan dengan pelbagai ancaman daripada musuh-musuh Allah. Ianya menyebabkan sebahagian mereka diselubungi ketakutan lalu ingin menjauhkan diri dan tidak ber'amal. Sesiapa pun tidak akan terselamat dari perkara ini melainkan mereka yang bersenjatakan iman dan berbekalkan taqwa:

Mereka bergembira dengan balasan ni'mat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman. Iaitu orang-orang yang menjunjung perintah Allah dan RasulNya (supaya keluar menentang musuh yang menceroboh), sesudah mereka mendapat luka (tercedera di medan perang Uhud). Untuk orang-orang yang telah berbuat baik di antara mereka dan yang bertaqwa, ada balasan yang amat besar. Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangikamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya." Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lain berkata: "Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)." Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat ni'mat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaan Allah. Dan ingat­lah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar. Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu jangan-lah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu (jangan cuaikan perintahKu), jika betul kamu orang-orang yang beriman.

(Surah Ali-'Imran: Ayat 171-175
)

Di jalan da'wah kita amat memerlukan kepada sokongan ikatan ukhuwwah dan jalinan kasih-sayang kerana Allah, agar kerjasama dan kesefahaman untuk kepentingan da'wah terbentuk dengan mudah. Pertemuan yang dekat dan erat adalah dengan sebab kasih-sayang dan ukhuwwah ini. Ketulusannya yang berterusan tidak dapat direalisasikan melainkan di antara mu'minin:

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain.....................................(Surah At-Taubah: Ayat 71)

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.................................................(Surah Al-Hujurat: Ayat 10)


Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam mensyaratkan kesempurnaan iman dengan lahirnya kasih-sayang ini:

Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehinggalah ia mengasihi saudaranya sepertimana ia mengasihi dirinya sendiri.

Pada waktu tertentu penda'wah di jalan Allah diselubungi perasaan lemah semangat dan malas. Jika ianya berterusan, dikhuatiri seseorang itu akan berehat dan tidak ber'amal. Tetapi orang mu'min saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran sepertimana yang dianjurkan Al-Qur'an, maka mereka dapat menghindarkannya. Memberi peringatan mendatangkan manfa'at untuk orang mu'min. Saling memberi nasihat yang wajib antara mu'min iaitulah dengan mengingatkan saudaranya apabila ia terlupa, membantunya apabila ia sedar atau ingat, memberitahu keburukannya dan membantu untuk menghilangkan keburukan itu.

Para penda'wah di jalan Allah seringkali berhadapan dengan pelbagai peristiwa dan pendirian yang mendukacitakan, menyusahkan dan meragukan. Mereka perlu menentukan pendirian yang bersesuaian dengan Islam ketika berhadapan dengan pelbagai jenis sikap atau peristiwa. Mereka perlu membuat pertimbangan yang sempurna bertepatan dengan perspektif Islam dan mengemukakan pandangan yang benar; sekalipun terpaksa menghadapi tentangan dan merasai keperitan. Sikap ini tidak dapat dilaksanakan sedikitpun dan tiada apa yang dapat membantunya melainkan iman dan taqwa.

Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan sumhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).

(Surah At-Talaq: Ayat 2-3)

Dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar).............(Surah At-Taghabun: Ayat 11)


Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.............................................................(Surah At-Talaq: Ayat 4)


Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami........(Surah Al-Kahfi: Ayat 10)

Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat - benar (dalam segala perkara)............(Surah Al-Ahzab: Ayat 70)


Di dalam hadith:

Jihad yang paling afdal di sisi Allah ialah memperkatakan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim.

Di jalan da'wah setiap individu mestilah mengutamakan syari'at Allah pada perkataan dan 'amalan. Janganlah menyanggahi perintah Allah dan Rasulullah pada setiap keadaan. Dia mestilah berusaha bersunguh-sungguh untuk menyatukan saf dan tidak memecah-belahkannya. Tiada apa yang dapat membantunya untuk melakukan perkara ini melainkan iman yang benar, yang memelihara diri dari sebarang kecuaian dan kurang iltizam:

Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka..(Surah Al-Ahzab: Ayat 36)

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai.............................................(Surah Ali-'Imran: Ayat 103)


Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman ialah mereka yang beriman kepada Allah dan RasulNya, dan apabila mereka turut bersama-sama dengan Rasulullah dalam sesuatu perkara yang memerlukan perhimpunan ramai, tidaklah mereka meninggalkan majlis perhimpunan itu sebelum mereka meminta izin kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (wahai Muhammad) itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya...(Surah An-Nur: Ayat 62
)

Di jalan da'wah kita memerlukan ilmu yang bermanfa'at yang semestinya dimiliki oleh penda'wah yang bijaksana. Tidak memadai dengan membanyakkan pembacaan sahaja, tetapi mestilah juga meningkatkan ketaqwaan dan keikhlasan kepada Allah, agar Allah Subhanahu wa Ta'ala melimpahkan 'ilmu, hidayah dan taufiq daripadaNya. Benarlah firman Allah yang Maha Besar:

Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu......................................(Surah Al-Baqarah: Ayat 282)

Berdo'alah dengan berkata: Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku......(Surah Taha: Ayat 114)


Di jalan da'wah kita merasakan amat perlu kepada sokongan dan pertolongan daripada Allah, khususnya apabila kita menghadapi pelbagai jenis tipu daya dan serangan musuh-musuh Allah. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta-benda)ndan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalali Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersatnanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agarna Allah).....................(Surah Al-Baqarah: Ayat 214)
Pertolongan daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala dan kekuasaan agamaNya tidak dapat dicapai melainkan oleh orang mu'min yang berjihad. Bekalan iman yang kuat adalah sebab utama dan syarat yang semestinya dipenuhi untuk mendapatkan pertolongan daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala dan kekuasaan agama Islam:

Dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman...........................................................................(Surah Al-Rum: Ayat 47)

Sesungguhnya Kami tetap membela serta mempertahankan Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman - dalam kehidupan dunia ini dan pada saat bangkitnya saksi-saksi (pada hari qiamat).........................................................(Surah Al-Ghafir: Ayat 51)


Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan ber'amal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus ber'ibadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu....................................................................................(Surah An-Nur: Ayat 55)


Akhir sekali, kita mestilah sentiasa setia dengan janji. Tidak memungkirinya, tidak mengubahnya dan tidak menukar-gantinya; sehinggalah kita bertemu Allah dan kita masih berpegang-teguh dengannya. Keimanan dan ketaqwaan adalah bekalan terbaik yang menolong kita:

Bahkan (mereka berdosa mernakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orangyang bertaqwa....(Surah Ali-'Imran: Ayat 76)

Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.........................................................................................(Surah Al-Ahzab: Ayat 23)
Demikianlah kami melihat sejauh mana keperluan kita kepada bekalan di jalan da'wah. Dan bagaimana kita tidak terdaya untuk melangkah walaupun selangkah, atau melakukan kebaikan dan ber'amal tanpa bekalan iman dan taqwa. Bersegeralah kita mendapatkan bekalan ini dan memperbaharuinya selalu. Janganlah membiarkannya berkurangan sehingga kehabisan. Bahkan beramallah untuk menambahkannya. Perihal mengenali sumber-sumber mendapatkan bekalan dan bagaimana ber'amal untuk menambah dan memperbaharuinya, maka kami bentangkan topik-topik yang berikut mi dengan izin Allah. Kita bermohon daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala segala pertolongan dan taufiq..................

No comments: