Saturday, April 17, 2010

Part 8 : ISLAM SEBAGAI AD-DEEN

ISLAM SEBAGAI AD-DEEN

OBJEKTIF 
1. Ahli usrah memehami pengertian Islam dan konsepnya sebagai Ad-Deen.
2. Ahli usrah memahami ciri-ciri Islam serta dapat mengaitkannya dengan kehidupan.

PENGERTIAN ISLAM
 Dari segi bahasa Islam bermakna taat, menyerah, damai, aman dan tidak ada kecacatan baik dari segi zahir mahupun batin. Dengan sebab inilah agama ini diberi nama Islam. Pengertian Islam dijelaskan oleh Allah dalam firmanNya:
  "Dan siapakah yang lebih baik Deennya dari orang yang menyerahkan wajahnya (dirinya) kepada Allah, sedangkan dia berbuat ihsan dan mengikut Deen Ibrahim dengan hanaya cenderung kepada Allah." (Surah An-Nisa':125)


 Berpandukan kepada ayat ini, Islam diertikan sebagai penyerahan diri kepada Allah dengan keikhlasan hati. Bahkan inilah intipati seluruh makna Islam. Islam dengan makna induk ini tidak hanya dikhususkan kepada manusia tetapi merangkumi segala kejadian di alam semesta seperti firman Allah:
  "Apakah selain dari agama Allah yang mereka masih tercari-cari sedangkan segala yang ada di langit dan di bumi telah Islam (menyerh diri) kepadaNya dengan relah hati dan terpaksa. Dan kepadanyalah mereka dikembalikan." (Surah Aali-Imran:83)

 Firman Allah:
  "Dan kepada Allah sujud segala yang ada di langit dan bumi dengan rela hati dan terpaksa, dan juga bayang-bayang mereka setiap hari pada tiap-tiap pagi dan petang." (Surah Ar-Ra'd:15)

 Dari kedua-dua ayat ini maka dapat disimpulkan bahawa pengertian Islam tersimpul pula dalam penyerahan diri kepada Allah. Penyerahan yang setepat-tepatnya di antara hubungan manusia dengan penciptanya ialah sujud kepada Allah dengan penuh kepatuhan ketundukan. Oleh itu jelas sekali di antara ketiga-tiganya; Ad-Deen Islam dan sujud mempunyai kaitan dan jalinan makna yang erat dan tabi'i.

CIRI-CIRI ISLAM (KHASAIS AL-ISLAM)
 Ciri-ciri Islam merupakan satu daripada ciri-ciri keistimewaan Islam yang merupakan titik perbezaan antara Islam dengan agama-agama lain di dunia ini.
 Ciri-ciri Islam:
*         Rabbaniyyah
Ianya membawa erti bahawa Islam ini datangnya daripada Allah. Manusia hanya sebagai pelaksana segala ketentuan yang telah ditetapkan. Seseorang itu disebut rabbani apabila mempunyai hubungan yang erat dengan Allah.
Sudut Rabbani ini terbahagi kepada dua bahagian:
1.       Rabbani dari sudut matlamat dan tujuan.
Ia bererti Islam menjadikan hubungan yang baik dengan Allah dan mendapat keredhaanNya sebagai matlamat terakhir kehidupan. Inilah matlamat hidup insane di dunia ini. Kesemua ajaran Islam baik yang bersangkutan dengan aqidah, muamalah, akhlak dan lain-lain adalah bertujuan untuk menyipakan manusia supaya menjadi hamba kepada Allah semata-mata.
Kesan Rabbaniyyah
a.       Mengetahui matlamat hidup manusia di dunia.
b.       Mengenal fitrah
c.       Selamat dari pertentangan dengan diri sendiri
d.       Bebas dari sifat perhambaan ananiyah (keakuan) dan runtunan hawa nafsu
2.       Rabbani dari sudut manhaj dan sumber.
Rabbani dari sudut manhaj bererti manhaj ini adalah rabbani kerana bersumberkan kepada wahyu Ilahi kepada Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Sumber ajaran Islam adalah mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia tanpa kecuali dari sekecil-kecil urusan sampailah kepada sebesar-besar perkara.
Kesan sumber dan manhaj rabbani
a.       Islam terhindar dari segala bentuk kekurangan
b.       Terhindar dari pengaruh kekayaan
c.       Islam sesuai untuk semua manusia
d.       Mendapat penghormatan dan kehebatan

*         Syumuliyyah
Ia bererti ajaran Islam lengkap dan meyeluruh. Ruang lingkup ajaran Islam adalah mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia tanpa kecuali dari sekecil-kecil urusan sampailah ke sebesar-besar perkara.
1.      Sudut kesyumulan Islam
Islam telah mengemukakan undang-undang kepada manusia untuk mengatur hubungan sesame manusia. Islam telah menjelaskan hukuman-hukuman terhadap mereka yang melanggar hukuman sama ada yang berkaitan dengan sivil atau jenayah seperti hukuman hudud dan qisas (bunuh balas).
Hukum yang bersangkutan dengan urusan hubungan manusia dengan Allah seperti solat, haji, puasa, dan ibadah lain. Hukum-hukum yang mengatur hubungan antara manusia dengan manusia lain seperti hukum nikah, muamalah, kehakiman, hukum berkait dengan pemerintahan Negara, harta dan hukuman denda kepada pesalah yang melakukan kesalahan.


2.      Keadilan
Islam telah memeperjuangkan keadilan. Keadilan dalam Islam adalah memberi hak kepada yang berhak tanpa sebarang kekurangan. Keadilan wajib diberikan kepada semua insan baik muslim, musuh Islam atau kawan, ahli keluarga, atau bukan ahli keluarga
3.      Kehakiman
Islam mengemukakan sistem kehakiman. Ini bermaksud bahawa Islam menentukan di dalam hubungan permasalahan sesame manusia kerana manusia sangat memerlukan seorang hakim yang dapat menghukum dan menyelesaikan perselisihan mereka serta dapat mengembalikan hak kepada yang empunya hak.
Islam telah meletakkan bahawa kehakiman merupakan fardhu. Di mana setiap hakim Muslim mestilah menjatuhkan hukuman mengikut yang telah ditentukan oleh Allah
4.      Negara
Dalam soal bernegara, Islam telah menjelaskan hukum-hukum berkenaan persoalan negara. Islam bukanlah terbatas dalam lingkungan hubungan di antara manusia dengan Allah sahaja, malah menyusun hubungan manusia sesame manusia dan hubungan jamaah dengan jamaah lain.
Ketua negara dipilih di kalangan orang-orang Islam sesuai dengan syarat-syarat seperti sifat Quwwah dan Amanah. Peranan ketua negara Islam ialah melaksanakan syariat dan membimbing manusia untuk melakukannya
5.      Akhlak
Islam mengambil berat soal akhlak. Pengambilan berat Islam terhadap akhlak jelas dengan apa yang digariskan oleh Al-Quran tentang sifat-sifat dan akhlak yang perlu dimiliki oleh orang-orang yang beriman
6.      Ilmu
Ilmu yang dimaksudkan di sini ialah makrifat dan mengenali hakikat sesuai dengan tepat dan mengetahui sesuatu yang diturunkan oleh Allah, mengetahui tujuan manusia diwujudkan oleh Allah dan kehidupan akhirat yang mengakhiri manusia. Ilmu yang paling tinggi ialah ilmu yang boleh membawa kepada mengenali Allah.

*         Alamiyyah
Alamiyyah bermakna sesuai untuk semua orang dan tempat. Islam sesuai untuk orang Arab, Melayu, Cina, India dan juga bangsa-bangsa lain di dunia ini. Ia bukan untuk segolongan atau satu bangsa sahaja. Ia juga sesuai di semua tempat sama ada di Kutub Selatan, Khatulistiwa, dan sebagainya. Ia juga sesuai untuk semua zaman sama ada zaman Rasulullah sallallahu alaihi wasallam atau zaman teknologi moden yang canggih ini. Sesuai sampai ke hari qiamat.
Islam meraikan kehendak dan keperluan manusia dalam beberapa perkara seperti:
a.       Dharuriyyat
Iaitu kehidupan manusia tidak akan wujud dengan ketiadaannya. Perkara-perkara dharuriyyat ini perlu untuk menjaga aqal, agama, jiwa, keturunan, dan harta.
b.       Hajiyyat
Iaitu perkara yang diperlukan oleh manusia untuk hidup. Namun manusia hidup tanpa kewujudannya.
c.       Tahsiniyyat
Iaitu perkara yang diperlukan oleh manusia untuk hidup dengan lebih mulia. Di mana ketiadaannya tidak menjejaskan kehidupan manusia. Ia lebih mirip kepada unsur kesempurnaan dan kemewahan.
*         Waqieyyah
Islam adalah mengikut suasana dan tempat. Contohnya: Islam mewajibkan menutup aurat tetapi cara perlaksanaannya mengikut tempat dan suasana di mana seseorang Muslim itu berada.
*         Inqilabiyyah
Menegakkan Islam atas keruntuhan jahiliyyah. Islam tidak boleh bercampur dengan jahiliyyah. Islam juga tidak boleh ditempel-tempelkan pada system jahiliyyah.
*         Thabat dan Murunah
Tetap dari segi prinsip dan hukum tetapi anjal atau fleksibel dari segi perlaksanaannya. Sebagai contohnya: Solat adalah wajib  dan perlaksanaannya boleh dibuat secara jama dan qasar bagi mereka yang bermusafir. Begitu juga ketika seseorang Muslim itu sedang sakit maka dia boleh melaksanakannya dalam keadaan duduk, baring atau bertelentang mengikut kemampuannya.

KEWAJIPAN MENGHAYATI ISLAM
 Islam kini menghadapi cabaran yang sangat hebat, bukan sahaja musuh dari luar tetapi juga musuh dari kalangan ummat Islaam sendiri. Tidak ganjil Islam menghadapi cabaran, kerana memang sejak ia dilahirkan lagi perkara ini telah berlaku. Walau bagaimana pun yang ganjil ialah kerjasama yang dilakukan oleh penganutnya sendiri dengan musuh dari luar laknatullah. Itulah ujian pahit yang dihadapi oleh gerakan Islam dan para Mujahidin di seluruh dunia pada waktu ini. Dikepung dari segenap penjuru oleh musuh. Umat islam berada di dalam kebingungan dengan apa yang sedang berlaku pada waktu ini.
 Terdapat di kalangan ummat Islam yang bertanya mengapa terdapat di kalangan ummat Islam yang aktif di medan politik lebih daripada di medan ibadah? Mereka ragu dengan kebangkitan harakah Islamiyyah yang menyeluruh kononnya tiada hubungan dengan pengertian Islam dan organisasinya yang berbentuk sedemikian rupa.
 Islam tidak pernah membezakan orang yang beribadat di masjid sambil mengeluarkan air mata yang khusyu dan tawadhu kepada Allah dengan mereka yang mengalirkan dakwat penanya yang menulis kerana Islam, dan juga peluh dan darah yang meleleh dari badan para Mujahid di medan peperangan kerana menegakkan kalimah Allah. Al-Imam Abdullah Bin Al-Mubarak pernah menulis kepada sahabatnya yang beriktikaf dengan meninggalkan tugas berjihad di medan peperangan:
  Wahai sahabat yang sedang beribadat di tanah suci, kalau saudara melihat kami, saudara akan tahu bahawa saudara hanya bermain dengan ibadah, siapa yang pipinya berlumuran air mata, maka leher kami berlumuran dengan darah. Kalau kudamu penat di dalam kebatilan makan kuda kami akan penat di medan perang.

 Sesungguhnya membezakan orang yang beriktikafdi masjid dan berjuang menegakkan masyarakat dan Negara Islam dengan mangatakan bahawa yang pertama sebagai orang dakwah yang menghayati Islam dan kedua dipanggil orang politik berjuang untuk duniawi, adalah perbezaan yang ditunjukkan oleh musuh Islam dan menunjukkan betapa jahilnya orang Islam yang terpengaruh dengan fahaman sesat ini.

 Tidakkah para Rasul merupakan ahli ibadah yang sangat tekun. Di samping itu, berjuang menentang thaghut yang menjadi pemerintah di zaman mereka? Tidakkah Saidina Abu Bakr yang menangis kerana taqwanya itulah yang melancarkan serangan hebat menetang orang murtad yang menentang Negara Islam. Begitulah Islam dikelirukan sehingga terkeluar dari apa yang sepatutnya. Sebenarnya kita memerlukan penjelasan sebagai Ad-Deen dan memahami kewajipan menghayatinya.

 Kesimpulannya Islam adalah Ad-Deen (cara hidup) untuk dihayati dan dipraktikkan, bukan hanya sebagai suatu teori yang boleh dicabar dan diuji kebenarannya. Sesungguhnya Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah.

SOALAN PERBINCANGAN
1.      Berikan pengertian Islam seta huraikan konsepnya sebagai Ad-Deen (cara hidup)?
2.      Mengapakah Islam itu istimewa berbanding agama lain? (ciri-ciri Islam itu sendiri serta berikan contoh yang praktikal).

Part 7 : PEMBENTUKAN AKHLAK MENURUT ISLAM

PEMBENTUKAN AKHLAK MENURUT ISLAM


OBJEKTIF
1.      Ahli usrah mengetahui bagaimana membentuk akhlak menurut Islam
2.      Ahli usrah mengetahui peri-pentingnya berakhlak dengan akhlak Islam

KANDUNGAN
1.      Pembentukan akhlak menurut Islam
2.      Akhlak yang baik ialah kesempurnaan Islam
3.      Kepentingan akhlak dalam peribadi Muslim
4.      10 sifat mahmudah
5.      10 sifat mazmumah
6.      Muslim terhadap Tuhannya
                Sedar dan taat akan perintah Tuhan 
                Sentiasa bertaubat dan mencari redha Allah
7.      Muslim terhadap dirinya
               Memurnikan aqidah
               Memiliki ilmu yang mantap
               Memiliki bidang pengkhususan
8.      Muslim terhadap ibu bapa dan keluarganya
               Mentaati kedua ibu bapanya
               Berlemah lembut
9.      Muslim terhadap saudara dan sahabat-handai
              Mencintai kerana Allah di atas dasar iman dan aqidah
             Tidak membelakangi mereka
             Memenuhi keperluan apabila diperlukan
             Berpesan di atas kebenaran dan kesabaran

PEMBENTUKAN AKHLAK MENURUT ISLAM
 Akhlak dapat dibentuk dengan baik sekiranya kita benar-benar mengikut lunas-lunas yang telah disyariatkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Akhlak yang dibentuk berasaskan kesedaran dan hidayah dari Allah yang mampu dimiliki oleh setiap manusia yang mahu digelar hambaNya.

 Antara jalan terbaik untuk membentuk akhlak yang mulia ialah:
*     Ilmu pengetahuan
Setiap mukmin perlu mempelajari apakah akhlak yang terpuji (akhlak mahmudah) dan apakah akhlak yang dikeji (akhlak mazmumah). Al-Quran telah menggariskan akhlak yang utama yang mesti dihayati oleh setiap orang mukmin. Sennah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam pula telah memperincikan serta telah menterjemahkannya ke dalam reality kehidupan sebenar.

*    Menyedari kepentingan akhlak yang diamalkan
Akhlak adalah cermin bagi individu Muslim itu sendiri, malah daya tarikan Islam juga bergantung kepada akhlak yang mulia.


*    Keazaman yang tinggi
Melalui keazaman yang kuat sahaja jiwa dapat diperkukuhkan untuk benar-benar menghayati sifat yang mulia.


*    Ibadah yang kuat dan ikhlas
Ketekunan dan keikhlasan melakukan ibadah mampu menangkis serangan mazmumah terutamanya bisikan hawa nafsu.



*     Bergaul dengan orang yang baik akhlak
Pergaulan boleh mempengaruhi diri untuk berubah. Ini adalah kerana manusia cepat meniru orang lain. Dalam masa yang sama menjauhi orang-orang yang melakukan maksiat dalam erti kata uzlah syuuriyah (pengasingan jiwa) yang mana kita tetap meneruskan usaha untuk membawa mereka kembali ke jalan yang benar.


*    Membiasakan diri dengan kebaikan
Menggantikan akhlak mazmumah dengan akhlak mahmudah serta senantiasa membiasakan diri dengannya agar ia tetap kekal di dalam jiwa.

*    Sentiasa berlapang dada untuk menerima nasihat
Kadang-kala seseorang itu tidak menyedari kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri sendiri. Oleh itu ia perlu berlapang dada dan menerima nasihat-nasihat yang bertujuan untuk membaiki dirinya.
Umar Ibn Al-Khattab pernah berkata: Mudah-mudahan Allah memberikan hidayah kepada orang-orang yang menunjukkan kekurangan-kekuranganku.

AKHLAK YANG BAIK IALAH KESEMPURNAAN ISLAM


 Rasulullah sallallahu alaihi wasallam diutuskan kepada manusia untuk menyempurnakan akhlak sebagaimana yang dinyatakan dalam hadeeth Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Dengan akhlak Rasulullah memenuhi kewajipan dan menunaikan amanah, menyeru manusia kepada tauhid dan dengan akhlak jualah baginda menghadapi musuh di medan perang. Dengan akhlak baginda memimpin rakyat dalam perjuangan mencapai cita-cita serta membangunkan Negara yang berdaulat dan merdeka. Sesungguhnya akhlak yang mulia melengkapkan sendiiman untuk menuju kepada kesempurnaan keperibadian manusia sebagai mana keterangan hadeeth yang berbunyi:
  Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda: Paling sempurna keimanan orang-orang mukmin ialah yang lebih baik akhlaknya. (Hadeeth Riwayat At-Tirmizi dari Abu Hurairah).
 Dalam konteks pengamalan syariat iaitu yang meliputi pengabdian hamba terhadap Allah, dapat dilihat pada rukun Islam yang lima dan juga dalam bab muamalah, akhlak berperanan untuk melengkapinya. 


 Manakala dalam bab ibadat, kita akan dapati antara hikmah ibadah-ibadah yang dianjurkan oleh Islam terdapat pertautan yang erat antara akhlak dan ibadah meskipun ibadah itu berlainan pada rupa dan bentuknya tetapi kesemuanya menuju kepada satu sasaran yang digariskan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dalam sabdanya: Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak.

 Sembahyang, puasa, zakat, haji dan lain-lain amalan yang diperintahkan di dalam Islam adalah merupakan anak tangga untuk mendaki kemuncak kesempurnaan dan sebagai strategi untuk melindungi diri dai kerosakan dan kerendahan moral. Dengan sebab ciri-ciri itu maka ibadah-ibadah tersebut terletak di tempat yang tinggi dalam agama.
 Persiapan umat Islam untuk menjadi Ummatan Wasathon harus dilengkapi dengan tuntutan untuk dijadikan alat komunikasi dengan sesame manusia. Tuntutan itu berupa ajaran akhlak mulia, yang diharapkan untuk mewarnai segala aspek kehidupan manusia. Kerana itu, sesungguhnya ilmu komunikasi yang paling hebat adalah ilmu yang didasarkan kepada akhlak yang mulia.

KEPENTINGAN AKHLAK DALAM PERIBADI MUSLIM
 Bidang akhlak adalah bidang yang amat penting dalam system hidup manusia. Ini adalah kerana nilai manusia itu pada hakikatnya terletak pada akhlak dirinya. Semakin tinggi nilai akhlak diri seseorang itu maka makin tinggi pula nilai kemanusian pada dirinya. Akhlak ini jugalah yang membezakan antara insan dengan haiwan dari segi perilaku, tindak-tanduk dan tanggungjawab dalam kehidupan sehari-harian. Seseorang yang tidak berakhlak adalah sama tarafnya dengan haiwan malah lebih rendah dari itu lagi.

 Firman Allah subhaanahu wa taaala:
  Dan sesugguhnya kami telah sediakan untuk neraka banyak sekali golongan jin dan manusia yang mana mereka mempunyai hati tetapi tidak mahu mengerti dengannya, mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat dengannya, mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar dengannya, mereka itu seperti binatang malah lebih sesat, mereka ialah orang-orang yang lalai. (Al-Araf:179).

 Akhlak mempunyai kedudukan paling tinggi dalam hirarki tamadun ummat manusia. Oleh itu, masyarakat yang tidak mempunyai nilai akhlak tidak boleh dianggap sebagai masyarakat yang baik dan mulia walaupun mempunyai kemajuan yang dalam bidang ekonomi, teknologi dan sebagainya.

SIFAT MAHMUDAH
*         Sabar
*         Syukur
*         Khauf (takutkan kemurkaan Allah)
*         Roja (mengharapkan keredhaan Allah)
*         Benar
*         Jujur
*         Pemaaf
*         Pemalu
*         Tawadhu (merendahkan diri sesame muslim)
*         Tawakkal (meletakkan pergantungan kepada Allah)

SIFAT MAZMUMAH
*         Tergesa-gesa
*         Riya (melakukan sesuatu dengan tujuan ingin menunjukkan kepada orang lain)
*         Dengki (hasad)
*         Takabbur (membesarkan diri)
*         Ujub (kagum dengan diri sendiri)
*         Bakhil
*         Buruk sangka
*         Tamak
*         Pemarah
*         Sumah (melakukan sesuatu dengan tujuan untuk mendapatkan kemasyhuran )

MUSLIM TERHADAP TUHANNYA
*         Sedar dan taat akan perintah Tuhan
Menyedari dia senantiasa memerlukan pertolongan Allah serta mentaati perintah Allah sekalipun bertentangan dengan kehendak nafsunya.
*         Sentiasa bertaubat dan mencari keredhaan Allah
Segera bermohon kepada Allah apabila menyedari yang dirinya lalai atau berlaku cuai serta memastikan bahawa seluruh gerak kerja adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah.
Firman Allah subhaanahu wa taaala:
 Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya. (Al-Araf:201)
*         Perlaksanaan ubudiyyah terhadap Allah
Firman Allah subhaanahu wa taaala:
  Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu. (Al-Zaariyat:56)
beribadah kepada Allah dapat dilaksanakan dalam segala gerak-geri manusia selagi niatnya hanyalah semata-mata kerana Allah. Sebesar-besar ibadah ialah menegakkan hukum Allah dan membangunkan pemerintahan Islam.

MUSLIM TERHADAP DIRINYA
*         Memurnikan aqidah
Pembersihan keyaqinan, kefahaman dan pandangan supaya sesuai dan selaras dengan keterangan dan tuntutan Al-Quran dan Hadeeth serta memastikan aqidah bersih dari dicemari dengan segala bentuk kesyirikan, bidaah, khurafat, dan tahyul.
*         Memiliki ilmu yang mantap
Perkara pertama yang patut diketahui dengan lebih mendalam ialah ilmu pengetahuan berkenaan kitab Allah dan diikuti dengan ilmu fardhu ain yang lain.
*         Memiliki bidang pengkhususan
Menumpukan seluruh tenaga dan perhatian kepada jurusan dan perhatian yang menjadi pengkhususan sama ada di bidang agama (fardhu ain) atau bukan. Kejayaan ilmiyyah yang tinggi menyebabkan seseorang itu dipandang tinggi seterusnya dakwah dan risalah yang dibawa juga akan dipandang mulia oleh manusia selagi individu itu merealisasikannya dengan ikhlas, bersungguh-sunnguh dan menjaga adab-adabnya.

MUSLIM TERHADAP IBU BAPA DAN KELUARGANYA
*     Berbuat baik kepada kedua-duanya
Islam mengangkat tinggi martabat ibu bapa sehinggakan Allah meletakkan keredhaan keduanya sesudah keredhaan Allah.
Firman Allah subhaanahu wa taaala:
 Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa. (An-Nisaa:30)
*    Mentaati kedua-duanya selagi mana tidak bertentangan dengan syariat Islam
*    Melaksanakan tanggungjawab untuk menyelamatkan mereka daripada api neraka
Firman Allah subhaanahu wa taaala:
 Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu. (At-Tahrim:6)

MUSLIM TRHADAP SAUDARA-MARA DAN SAHABAT-HANDAINYA

*         Mencintai kerana Allah atas dasar iman, dan ikatan aqidah
Tidak mencintai seseorang kerana peribadinya semata-mata sebaliknya kerana kelebihan-kelebihan yang ada padanya yang membawa orang lain menuju keredhaan Allah.
*         Tidak membelakangi mereka
Meraikan mereka sama ada di dalam keadaan senag ataupun susah.
*         Memenuhi keperluan yang diperlukan
Hendaklah memenuhi keperluan apabila diperlukan dan mendahului keperluan mereka dari kepentingan diri sendiri.
*         Berpesan atas kebenaran dan kesabaran
Mengingatkan tentang suruhan agama yang perlu ditunaikan serta larangan-larangan yang mesti ditinggalkan.

BAHAN RUJUKAN
1.      Keperibadian Muslim Mohd. Ali Hashimi
2.      Badan Kendiri PJJ-ILHAM Kertas Seminar ILH 203 (Akhlak Islam-Nota C)
3.      Pekerti Muslim (Siri 1) Muhammad Al-Ghazali

SOALAN-SOALAN PERBINCANGAN
1.      Bagaimanakah pembentukan akhlak mengikut pandangan Islam?
2.      Mengapakah kita perlu berakhlak dengan akhlak Islam?
3.      Pekerti Muslim (Siri 1) Muhammad Al-Ghazali

SOALAN-SOALAN PERBINCANGAN
1.      Bagaimanakah pembentukan akhlak mengikut pandangan Islam?
2.      Mengapakah kita perlu berakhlak dengan akhlak Islam?