Friday, May 14, 2010

Hadis 35 - Orang Islam Adalah Bersaudara Dan Cara2 Hidup Bermasyarakat

Hadis 35 - Orang Islam Adalah Bersaudara Dan Cara2 Hidup Bermasyarakat


عن أبي هريرة قال: قال رسول الله لا تحاسدوا ولا تناجشوا ولا تباغضوا، ولا يبع بعضكم على بيع بعض، وكونوا عباد الله إخوانا، المسلم أخو المسلم، لا يظلمه ولا يخذله، ولا يكذبه، ولا يحقره، التقوى ههنا، ويشير إلى صدره ثلاث مرات بحسب امرئ من الشر أن يحقر أخاه المسلم، المسلم على المسلم حرام دمه، وماله، وعرضه -رواه مسلم.


Hadis diriwayatkan oleh al-lmam Muslim. Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Janganlah kamu saling dengki mendengki, tipu menipu, benci membenci, belakang membelakangi antara satu sama lain. Janganlah sebahagian kamu menjual barangan atas jualan orang lain. Hendaklah kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi seorang muslim; dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kehinaan), membohonginya dan m'hinanya. Keta'waan itu di sini - sambil Baginda menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali - Cukuplah seseorang itu mendapat keburukan apabila dia menghina saudaranya yang muslim. Setiap orang muslim ke atas muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya.


Pengajaran hadis:

(1) Hadis ini menganjurkan satu cara hidup bermasyarakat yang pasti membawa kepada keharmonian hidup, iaitu cara hidup yang mempamerkan keluhuran budi dan kemuliaan akhlak.

(2) lslam melarang umatnya dari saling hasad dengki, tipu menipu, benci membenci dan pulau memulau kerana semua sifat ini adalah sifat buruk yang hanya akan membawa kepada kerosakan, huru hara dan perpecahan dalam masyarakat. Masyarakat akan hancur sekiranya setiap anggota mempunyai sifat-sifat buruk seumpama ini.

(3) lslam juga melarang seseorang memotong jual beli saudaranya sehingga dia selesai membuat keputusan sama ada mahu meneruskan jual beli tersebut atau membatalkannya. Apabila jual beli itu dibatalkan, maka bolehlah dia menawarkan diri untuk berurus niaga. Etika ini diajar oleh lslam demi memelihara hubungan persaudaraan sesama muslim agar tidak timbul permusuhan akibat perbuatan memotong urusniaga orang lain.

(4) Umat lslam digesa hidup sebagai hamba Allah yang bersaudara dengan masing-masing menunaikan hak saudaranya dengan sempurna. Antara hak saudara seagamanya ialah bahawa dia tidak menzaliminya, tidak membiarkannya dihina, tidak membohonginya dan tidak mencerca atau menghinanya. Cukuplah seorang mukmin mendapat kecelakaan apabila dia suka menghina saudaranya.

(5) Taqwa adalah perkara tersembunyi yang ada di dada seseorang, ia bukannya suatu perkara yang boleh didakwa. Taqwa tidak seharusnya didakwa-dakwa bahkan ia adalah perkara tersembunyi di dada, namun ia dapat dikesan berdasarkan amalan seseorang kerana seorang yang bertaqwa hanya akan melakukan amalan soleh dan berakhlak mulia.


Hadith ini merupaka antara amanat terakhir Rasulullah s.a.w. kepada umat Islam. Ada sumber yang mengatakan hadith ini diucapkan sewaktu khutbah wida’. Di dalam hadith ini, Rasulullah mengajar umat Islam supaya mementingkan perpaduan dan mengamalkan adab-adab dan tatasusila terutama sekali sesame Muslim. 

Perpaduan adalah salah satu intipati terbesar dalam Islam. Di dalam al-quran, terdapat banyak sekali ayat-ayat yang menggesa umat Islam supaya bersatu. Antaranya, dalam surah al-‘Imran: 103: 

‘Dan berpegang teguhlah kamu semua pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai..’ 

Dan di dalam surah At-Taubah ayat ke 71, Allah menyebut: 

‘Dan orang-orang yang beriman, laki-laki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi ‘awliya’ (setia atau penolong) bagi sebahagian yang lain.’ 

Terdapat banyak lagi ayat-ayat di dalam al-quran yang menyeru ke arah perpaduan, dan banyak juga ayat yang melarang perpecahan. Kita dapat melihat ayat-ayat ini dalam surah ali-Imran: 103, seperti yang disebut tadi. 

Terdapat banyak juga hadis yang menyeru umat Islam supaya bersatu. Di dalam satu hadis yang direkod oleh Imam Muslim:
‘Sesungguhnya Allah menyukai 3 perkara untuk kamu dan mengharamkan 3 perkara untuk kamu. Dia menyukai kamu menyembahNya dan meleraikan segala perkara denganNya, kamu berpegang teguh pada tali Allah dan kamu tidak berpecah. Dan Dia tidak tidak menyukai bercakap-cakap kosong, terus-menerus bertanya, dan membazir kekayaan.’
 
Pengajaran:  

Agama Islam adalah agama yang harmoni dan sangat mementingkan keamanan dan perpaduan sesame umat Islam. Terdapat banyak pengajaran yang dapat diambil secara terus dari hadis ini. 

  • 1. Jangan saling berdengki.
  • 2. Jangan saling menipu.
  • 3. Jangan saling membenci.
  • 4. Jangan saling membelakangi.
  • 5. Jangan menjual di atas penjualan orang lain.

Perkara-perkara yang dinasihati Nabi s.a.w. tersebut semuanya berkaitan dengan hak-hak seorang Muslim. Seorang Muslim mempunyai hak yang wajib ditunaikan oleh Muslim yang lain. Perkara-perkara yang diingatkan oleh Rasulullah s.a.w. ini merupakan antara penyakit hati yang sangat mudah untuk berlaku di dalam kehidupan seharian kita di mana jua. Justeru, biarpun kelihatan perkara kecil, Rasulullah mengingatkan umat Islam untuk menjaga perkara-perkara ini sebagai hak seorang Muslim. 

Rasulullah s.a.w. menyambung nasihat baginda dengan bersabda: 

‘Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara’ 

Hendaklah umat Islam saling bergaul dan memperlakukan orang lain seperti saudara dalam kecintaan, kasih sayang, keramahan, kelembutan dan tolong-menolong dalam kebaikan dengan hati ikhlas dan jujur dalam segala hal. Seorang Muslim adalah saudara Muslim yang lain, maka tidak boleh menzaliminya, membiarkannya, mendustanya dan menghinanya.
Inilah indahnya ajaran Islam. Rasulullah menekankan bahawa seorang Muslim adalah saudara Muslim yang lain. Agama Islam mempersaudarakan umatnya atas talian aqidah yang suci. Dan inilah dia talian yang diiktiraf oleh Allah di dalam al-quran. 

Betapa Islam sangat menghargai harga dan nilai seorang Muslim. Membiarkan di sini bermaksud tidak memberi bantuan dan pertolongan. Maksudnya, jika ia meminta tolong untuk melawan kezaliman, maka menjadi keharusan saudaranya sesame Muslim untuk menolongnya jika mampu dan tidak ada halangan syar’i. 

Taqwa 

Akhir sekali, setelah baginda mengingatkan tentang hak-hak dan adab-adab seorang Muslim, Rasulullah mengaitkan pula kesemua perkara ini dengan taqwa. Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita bahawa perkara yang membezakan seseorang dari seorang yang lain ialah taqwa. Orang yang paling mulia adalah orang yang bertaqwa kepada Allah, meskipun dipandang rendah oleh orang lain. 

Nilai seorang Muslim 

Harga seorang Muslim sangat tinggi dan tidak boleh diperkotak-katikkan orang lain. Setiap Muslim mempunyai hak dan wajib dihormati dan dijaga haknya. Islam sangat melarang seorang Muslim untuk merendah-rendahkan seorang Muslim yang lain. 

Subhanallah.. Indahnya agama Islam.

No comments: