Air dunia dan akhirat
Air adalah satu daripada bahan yang paling banyak terdapat, dan tanpanya kehidupan menjadi mustahil. Laut dan lautan meliputi kira-kira tujuh per sepuluh daripada permukaan Bumi, tetapi air juga terkandung di dalam tanah, di atmosfera (atmosphere), dan di dalam semua benda yang hidup. Lebih separuh daripada badan manusia terdiri daripada air, yang juga merupakan sebahagian besar daripada makanan yang kita makan, terutamanya sayur-sayuran dan buah-buahan (Ensaiklopaedia Britannica).
"Adakah kamu memikirkan air yang kamu minum?" (56:68)
Ayat al-Qur'an yang pertama mengandungi perkataan air membawa dua mesej. Yang pertama ialah, dengan air yang diturunkan dari langit, rezeki daripada Allah dikeluarkan iaitu buah-buahan. Dan kedua, kita diingatkan supaya tidak mengadakan rakan-rakan bagi Allah sambil mengetahuinya. Ayat tersebut berbunyi,
"Yang membuatkan bagi kamu bumi sebagai sofa, dan langit, bangunan, dan menurunkan dari langit, air; dengannya Dia mengeluarkan buah-buahan untuk rezeki kamu. Maka janganlah mengadakan rakan-rakan bagi Allah dengan mengetahuinya." (2:22)
Air dari langit menumbuhkan segala jenis tumbuh-tumbuhan, bukan sahaja buah-buahan seperti yang disebut tadi. Dua wahyu yang indah, yang diturunkan di bawah ini, memberi keterangan lanjut mengenainya. Wahyu-wahyu itu bermaksud:
"Dia yang menurunkan dari langit, air; dan dengannya Kami mengeluarkan tunas segala tumbuh-tumbuhan, dan kemudian Kami mengeluarkan daun-daun hijau, dan mengeluarkan daripadanya biji-bijian yang bersusun rapat, dan keluar daripada pohon palma, daripada seludangnya, kurma-kurma bertandan lebat yang boleh dicapai, dan kebun-kebun anggur, dan zaitun, dan delima, yang serupa sesamanya dan tidak serupa sesamanya. Perhatikanlah pada buah-buahnya apabila mereka berbuah, dan masak. Sesungguhnya pada semua ini adalah ayat-ayat bagi kaum yang mempercayai." (6:99)
"dan menurunkan untuk kamu dari langit, air; dan Kami menumbuhkan dengannya taman-taman yang dipenuhi keindahan, yang pohon-pohonnya kamu tidak dapat menumbuhkan." (27:60)
Memang sungguh indah pemandangan taman-taman dan pohon-pohon yang ditumbuhkan Allah! Dan perasaan segar dan nyaman dinikmati apabila melihat bumi menghijau pada waktu pagi setelah Dia menurunkan air dari langit (pada waktu malam). Firman-Nya,
Tidakkah kamu melihat bagaimana Allah menurunkan dari langit air, dan pada waktu pagi, bumi menjadi hijau? Sesungguhnya Allah Halus, Menyedari." (22:63)
Tanaman yang tidak pernah tumbuh di bumi yang mati akan tumbuh setelah bumi tersebut dihidupkan dengan air dari langit. Tanaman itu menjadi makanan bagi manusia dan bintang ternak. Firman-Nya,
"Dan Allah menurunkan dari langit air, dan dengannya menghidupkan bumi setelah ia mati. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah satu ayat bagi kaum yang mendengar." (16:65)
"Tidakkah mereka melihat bagaimana Kami menghalau air ke bumi yang tandus, dan mengeluarkan tanaman dengannya, yang binatang ternak mereka dan diri-diri mereka sendiri memakan?" (32:27)
(Sila click di sini untuk membaca laporan akhbar bertarikh 19 Sept 2002 mengenai penghijuan bahagian-bahagian gurun Sahara. Terima kasih.)
Air yang diturunkan dari langit adalah menurut ukuran. Ia ditempatkan di dalam bumi. Dan Allah berkuasa untuk menghilangkannya pula. Air itu adalah untuk diminum oleh manusia, dan pokok-pokok yang menjadi makanan bagi ternakan. Firman-Nya,
"Dan Kami menurunkan dari langit air, menurut ukuran, dan Kami menempatkan ia di dalam bumi; dan Kami berkuasa untuk menghilangkannya." (23:18)
"Dia yang menurunkan kepada kamu dari langit, air, untuk kamu minum daripadanya, dan daripadanya pokok-pokok, untuk kamu membiarkan ternakan kamu makan." (16:10)
Air yang diturunkan Allah dari langit adalah bersih dan diberkati. Dua ayat yang berikut menjelaskannya:
"dan Kami menurunkan dari langit air yang bersih," (25:48)
"Dan Kami menurunkan dari langit air yang diberkati," (50:9)
Selain daripada datang dari langit, air juga dikatakan datang dari awan. Air ini mencurah. Firman-Nya,
"Dan menurunkan dari awan air yang mencurah," (78:14)
Pun disebut ialah air yang datang dari bumi dan dari batu. Firman-Nya,
"Dan bumi, sesudah itu, Dia membentangkannya, Daripadanya mengeluarkan airnya dan padang rumputnya," (79:30-31)
"ada antara batu yang sungai-sungai memancar daripadanya, dan yang lain terpecah supaya air keluar daripadanya," (2:74)
Ada air yang bersih dan enak untuk diminum dan ada pula yang masin dan pahit. Air yang sangat enak disebut bersama gunung-gunung yang tinggi. Begitulah Allah menjelaskan dengan ayat-ayat yang berbunyi,
"Tidakkah Kami membuatkan padanya gunung-gunung yang tinggi? Memberi kamu minum dengan air yang sangat enak?" (77:27)
"Dan Dia yang membiarkan dua laut, yang ini bersih dan enak, rasanya menggembirakan, dan yang ini masin dan pahit, dan Dia meletakkan di antara mereka satu barzakh (tembok), dan satu larangan yang terlarang." (25:53)
Berhenti sebentar daripada memetik ayat-ayat al-Qur'an untuk kembali menterjemahkan maklumat yang berkaitan daripada ensaiklopaedia yang telah disebut dari awal lagi:
Air yang bersih jarang didapati di alam semula jadi. Ini ialah kerana air mampu melarutkan banyak bahan daripada udara, tanah dan batu. Kemasinan air laut disebabkan oleh bahan mineral yang dilarutkan daripada permukaan bumi oleh sungai-sungai dan dibawa turun ke laut. Haba matahari menyebabkan permukaan air laut menyejat, atau bertukar kepada wap, meninggalkan di belakangnya garam dan mineral-mineral lain. Ini menjelaskan mengapa laut-laut adalah jauh lebih masin daripada sungai-sungai yang mengalir ke dalamnya.
Petikan daripada al-Qur'an diteruskan dengan menyebut mengenai kilat, air dari langit, bumi yang mati, awan yang berat, dan guruh. Beginilah bunyi ayat-ayatnya:
"Dan daripada ayat-ayat-Nya ialah Dia memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk ketakutan dan harapan, dan Dia menurunkan dari langit air, dan Dia menghidupkan bumi setelah ia mati. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah ayat-ayat bagi kaum yang memahami." (30:24)
"Dia yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk ketakutan dan harapan, dan menumbuhkan awan yang berat. Guruh melafaz sanjungan-Nya," (13:12-13)
Dan begini pula bunyi keterangan daripada ensaiklopaedia tersebut:
Air hujan yang turun melarutkan gas-gas di udara setakat tertentu. Gas-gas ini adalah terutamanya nitrogen dan oksigen (oxygen), dengan sedikit karbon dioksida (carbon dioxide). Cahaya kilat menukarkan sebahagian daripada nitrogen kepada asid nitrik (nitric acid), yang hadir dalam hujan yang berguruh, dan ia membantu dalam penyuburan tanah.
Petikan daripada ensaiklopaedia disambung lagi dan ditamatkan di sini:
Air yang bersih boleh didapati daripada air yang mengandungi garam dengan kaedah dikenali sebagai penyulingan, yang kadang-kadang diguna di kapal-kapal yang besar.
Untuk enak diminum, air haruslah mengandungi sedikit gas yang dilarutkan dan bahan mineral. Air bersih yang disediakan melalui proses penyulingan adalah hambar, tiada perisa.
Kehidupan di Bumi diteruskan dengan proses pengedaran air yang tidak putus-putus. Laut-lautan menyediakan takungan yang besar untuk bekalan dunia, dan matahari memberikan tenaga untuk pengedaran air. Haba matahari menyejatkan air, yang berkumpul menjadi awan kelihatan seperti gumpalan "debu air". Apabila partikel "debu" menjadi besar mereka jatuh sebagai hujan, hujan batu, atau salji, untuk menampung kehidupan tumbuh-tumbuhan dan haiwan.
Sehubungan itu renungkanlah pula ayat-ayat berikut:
"Adakah kamu memikirkan air yang kamu minum? Adakah kamu yang menurunkannya dari awan-awan, atau adakah Kami yang menurunkannya? Sekiranya Kami mengkehendaki, tentu Kami membuatnya masin; maka mengapa kamu tidak berterima kasih?" (56:68-70)
"Tidakkah kamu melihat bagaimana Allah menjalankan awan, kemudian mengumpulkan mereka, kemudian membuat mereka satu kelompok, kemudian kamu melihat hujan keluar dari celah-celah mereka? Dan Dia menurunkan dari langit, gunung-gunung, yang di dalamnya hujan batu, supaya Dia menimpakan kepada siapa yang Dia mengkehendaki dengannya, dan memalingkannya daripada siapa yang Dia mengkehendaki; hampir-hampir sinar kilat-Nya menghilangkan penglihatan." (24:43)
"Dan Kami membuatkan sebuah lampu yang bersinar, Dan menurunkan dari awan air yang mencurah, Supaya Kami mengeluarkan dengannya biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan, Dan kebun-kebun yang subur." (78:13-16)
(Disediakan bersama karangan ini satu lampiran terisi sekeping keratan akhbar yang membawa laporan mengenai air yang terkandung di dalam badan manusia. Laporan tersebut berjudul "No need to drink eight glasses of water daily". Link kepada laporan itu juga disediakan di hujung halaman ini. Terima kasih.)
Selain untuk diminum, air diguna untuk membersihkan sebahagian atau seluruh badan manusia, seperti disebut dalam ayat-ayat wuduk (4:43 dan 5:6), dan ayat berikut (yang konteksnya adalah peperangan):
"Apabila menjadikan tidur nyenyak menutupi kamu sebagai keamanan daripada-Nya, dan menurunkan kepada kamu air dari langit untuk membersihkan kamu dengannya, dan untuk menghilangkan daripada kamu kecemaran syaitan, dan untuk menguatkan hati kamu, dan untuk memperteguhkan kaki kamu dengannya." (8:11)
Allah juga mendatangkan air untuk menghukum orang-orang yang berdosa. Peristiwa yang dirakamkan di bawah ini adalah satu contoh:
"Berkata (anak Nabi Nuh), 'Aku akan mencari perlindungan di gunung, yang akan menjagaku daripada air.' Berkata, 'Pada hari ini, tidak ada pelindung daripada perintah Allah, selain daripada orang yang Dia mengasihani.' Dan gelombang-gelombang tiba di antara keduanya, dan dia adalah antara orang-orang yang ditenggelamkan." (11:43)
Itu adalah secebis kisah daripada cerita Nabi Nuh yang didatangi banjir besar untuk menenggelamkan orang-orang yang tidak percaya termasuk anak lelakinya sendiri.
Air memulakan kehidupan. Segala sesuatu yang hidup, seperti haiwan dan makhluk, dicipta daripada air. Firman-Nya,
"Tidakkah orang-orang yang tidak percaya melihat bahawa langit dan bumi adalah satu massa yang berpadu, kemudian Kami memisahkan mereka; dan daripada air, Kami menjadikan segala sesuatu yang hidup? Tidakkah mereka mempercayai?" (21:30)
"Allah mencipta semua haiwan daripada air, dan sebahagian mereka berjalan di atas perut mereka, dan sebahagian mereka berjalan di atas dua kaki, dan sebahagian mereka berjalan di atas empat;" (24:45)
"Dan Dia yang menciptakan daripada air, makhluk, dan membuatnya sekeluarga melalui darah dan perkahwinan;" (25:54)
Namun, air yang melahirkan manusia dipanggil pula pati air yang keji, air yang keji, atau air yang terpancar. Inilah ayat-ayatnya:
"Kemudian Dia membuatkan keturunannya daripada pati air yang keji," (32:8)
"Tidakkah Kami mencipta kamu daripada air yang keji," (77:20)
"Dia dicipta daripada air yang terpancar," (86:6)
Allah mencipta segala-galanya. Dia mempunyai Arasy atau singgahsana. Arasy-Nya berada di atas air. Firman-Nya,
"Dia yang mencipta langit dan bumi dalam enam hari, dan Arasy-Nya di atas air, kerana Dia hendak menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik dalam amalannya." (11:7)
Di dalam al-Qur'an terdapat banyak persamaan. Satu daripada benda yang dibuatkan persamaan adalah air yang datang dari langit. Persamaannya adalah dengan kehidupan dunia. Ayat yang mengandungi persamaan tersebut berbunyi,
"Persamaan kehidupan dunia ini adalah seperti air yang Kami menurunkan dari langit, dan tumbuhan bumi bercampur dengannya, daripadanya manusia dan binatang ternak makan, sehingga, apabila bumi telah mengambil gemerlapannya, dan menampakkannya indah, dan penduduknya menyangka bahawa mereka telah menguasainya, perintah Kami datang kepadanya, malam atau siang, dan Kami membuatnya tanaman yang tertinggal sesudah dituai, seakan-akan ia tidak tumbuh kelmarinnya. Begitulah Kami menjelaskan ayat-ayat bagi kaum yang memikirkan." (10:24)
Demikianlah mengenai air di dunia di mana semua orang mendapat air yang sama. Tidak begitu pula di akhirat. Di sana, orang-orang Taman (syurga) diberi minum dengan air yang melimpah dan daripada beberapa jenis sungai yang mengalirkan beberapa jenis minuman yang tidak dicemari. Sementara orang-orang Api (neraka) tidak diberi air, melainkan air yang mendidih yang memotong usus-usus mereka. Firman-Nya,
"Orang-orang Api memanggil orang-orang Taman, 'Curahkanlah kepada kami air, atau daripada apa yang Allah merezekikan kamu!' Mereka berkata, 'Allah mengharamkan mereka kepada orang-orang yang tidak percaya,'" (7:50)
"Sekiranya mereka tegak di atas jalan (tarekat), tentu Kami memberi mereka minum daripada air yang melimpah," (72:16)
"Inilah persamaan Taman yang orang-orang yang bertakwa dijanjikan: di dalamnya sungai-sungai daripada air yang tidak dicemari, dan sungai daripada susu yang tidak berubah rasanya, dan sungai-sungai daripada arak - suatu keseronokan bagi peminum-peminum - dan sungai-sungai daripada madu yang dibersihkan; dan di dalamnya bagi mereka segala macam buah-buahan, dan keampunan daripada Pemelihara mereka. Samakah mereka dengan orang yang tinggal selama-lamanya di dalam Api, yang diberi minum air yang mendidih, yang memotong usus-usus mereka?" (47:15)
Selain air yang mendidih, mereka diberi minum air nanah dan air yang seperti leburan tembaga merah. Firman-Nya,
"Di belakangnya Jahanam, dan dia diberi minum air nanah," (14:16)
"Katakanlah, 'Yang benar adalah daripada Pemelihara kamu; maka hendaklah sesiapa yang menghendaki, percaya; dan hendaklah sesiapa yang menghendaki, tidak percaya.' Sesungguhnya Kami menyediakan bagi orang-orang yang zalim, api, yang gejolaknya meliputi mereka; jika mereka meminta pertolongan, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti leburan tembaga merah, yang melecurkan muka-muka mereka - betapa buruknya minuman, dan betapa buruknya tempat istirahat!" (18:29)
Air seperti itu diminum selama-lamanya. Tetapi peminumnya tidak mati. Bayangkanlah! Peminumnya adalah orang-orang yang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah.
No comments:
Post a Comment