Pages

Saturday, April 17, 2010

Part 5 : KONSEP IBADAH DALAM ISLAM

KONSEP IBADAH DALAM ISLAM

OBJEKTIF
1.      Ahli usrah memahami tentang konsep ibadah di dalam Islam.
2.      Ahli usrah memahami bagaimana sesuatu amal perbuatan dapat mencapai status ibadah.
3.      Ahli usrah memahami kepentingan ibadah dalam membina ummah.

KANDUNGAN
1.      Pengertian ibadah bahasa dan istilah
2.      Hubungan aqidah dan ibadah
3.      Ruang lingkup ibadah dalam Islam
4.      Pengkhususan ibadah umum dan khusus
5.      Syarat amal untuk mendapat status ibadah
6.      Salah faham terhadap pengertian ibadah
7.      Kepentingan ibadah dalam membina ummah

PENGERTIAN IBADAH
 Abu Al-Ala Al-Maududi telah mentarifkan ibadah daripada segi bahasa dan istilah di dalam bukunya Asas-asas Islam seperti berikut:
 Bahasa: Merendah diri, tunduk, patuh dan taat
 Istilah : Taat, tunduk, patuh dan merendah diri kepada Allah. Jelasnya, ibadah ialah pengabdian dir sepenuhnya kepada Allah subhaanahu wa taaala.
 Al-Quran menjelaskan bahawa ibadah sebagai ubudiyyah dan ketaatan. Firman Allah:
  Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. (Al-Baqarah:1-2)

HUBUNGAN AQIDAH DAN IBADAH
 Bila seseorang itu telah mempunyai aqidah yang kukuh maka:
*         Hidupnya hanyalah untuk beribadah kepada Allah sebagaimana firman Allah:
Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu. (Adz-Dzariyat:56)
Perintah dalam ayat ini adalah perintah untuk beribadat kepada Allah semata-mata, menghambakan diri dengan sepenuhnya kepada Allah dan hikmah diciptakan jin dan manusia.
*         Menolak segala kepatuhan dan ketaatan yang selain dari ketaatan kepada Allah.
Firman Allah:
 Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): Sembahlah Allah dan jauhilah thoghut. (Al-Nahl:36)
 Thoghut ialah semua yang disembah atau yang dipatuhi selain Allah.
*         Membina kehidupan di dunia menurut peraturan-peraturan Allah

RUANG LINGKUP IBADAH DALAM ISLAM
 Islam amat istimewa hingga menjadikan seluruh kegiatan manusia sebagai ibadah apabila diniatkan dengan penuh ikhlas kerana Allah demi mencapai keredhaanNya serta dikerjakan menurut cara-cara yang disyariatkan olehNya.
 Islam tidak membataskan ruang lingkup ibadah kepada sudut-sudut tertentu sahaja. Seluruh kehidupan manusia adalah medan amal dan persediaan bekalan bagi para mukmin sebelum mereka kembali bertemu Allah di hari pembalasan nanti.
 Hakikat ini ditegaskan oleh Allah di dalam Al-Quran:
  Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat). (Al-Mulk:2)
 Oleh itu ruang lingkup ibadah dalam Islam sangat luas. Ia adalah seluas tempoh hayat seseorang Muslim dan kesanggupan serta kekuatannya untuk melakukan apa saja amal yang diredhai oleh Allah dalam tempoh tersebut.

PEMBAHAGIAN IBADAH UMUM DAN KHUSUS
 Ibadah terbahagi kepada dua iaitu khusus dan umum:
*         Ibadah khusus
Merupakan perintah-perintah yang wajib dilakukan sebagaimana  yang terkandung di dalam Rukun Islam seperti solat, puasa, zakat, haji dan beberapa amalan khusus seperti tilawah Al-Quran, zikir dan seumpamanya.
 Ianya bersifat taufiqiyyah, iaitu dilaksanakan menurut garis-garis yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan berhenti setakat sempadan yang telah ditentukan oleh syara dan sebagaimana yang dilakukan sendiri oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam tanpa boleh ditambah atau dikurangkan atau membuat sebarang perubahan terhadapnya. Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam:
  Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang. (Sahih Bukhari)
*         Ibadah umum
Segala perkara atau amalan selain daripada kumpulan ibadah khusus di atas yang dilakukan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Ini termasuklah seluruh perbuatan manusia dalam kehidupan sehariannya.

SYARAT AMAL UNTUK MENDAPAT STATUS IBADAH
 Yusuf Al-Qardhawi di dalam bukunya Ibadah Dalam Islam telah memberikan syarat-syarat supaya sesuatu itu mendapat status ibadah:
*         Amalan-amalan yang dikerjakan itu mestilah bersesuaian dengan hukum Islam dan tidak bercanggah dengan hukum tersebut.
*         Amalan tersebut dilakukan dengan niat yang baik atau kerana Allah.
*         Amalan tersebut mestilah dilakukan dengan seelok-eloknya bagi menepati oleh Rasulullah:
Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang daripada kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya. (Muslim)
*         Ketika membuat amalan tersebut, hendaklah sentiasa menurut hukum-hukum syara dan ketentuan batasnya, tidak menzalimi orang lain, tidak khianat, tidak menipu, tidak menindas orang lain dan merampas hak-hak orang.
*         Tidak mencuaikan ibadah-ibadah khusus seperti solat, zakat, dan sebagainya dengan melaksanakan ibadah-ibadah umum.

SALAH FAHAM TERHADAP PENGERTIAN IBADAH
 Ibadah dalam Islam adalah berlainan sama sekali dengan konsep dan amalan agama-agama lain atau kepercayaan-kepercayaan lain. Ianya bukan perbuatan mengasingkan diri, ianya juga tidak terbatas kepada tempat-tempat tertentu sahaja atau hanya dilakukan melalui perantaraan orang-orang tertentu.
 Konsep-konsep seperti ini tidak wujud di dalam syariat Islam. Namun demikian pengaruh konsep asing ini telah dapat juga meresap ke dalam kehidupan sebahagian  besar daripada masyarakat Islam. Oleh itu timbullah pelbagai tanggapan terhadap ibadah. Ada yang menganggap ibadah itu hanya tertumpu kepada solat, puasa, zakat dan haji sahaja, terdapat juga di kalangan ummat Islam yang mengaku beribadah kepada Allah, tetapi tindak-tanduknya menunjukkan bahawa ia melaksanakan ubudiyyah kepada sesuatu yang lain daripada Allah. Malah terdapat juga orang yang berpendapat bahawa ruang lingkup ibadah itu tidak ada kaitan langsung dengan urusan masyarakat, terutamanya dalam bidang politik dan pemerintahan. Semua ini adalah tanggapan-tanggapan yang amat salah.

HIKMAH DAN FALSAFAH IBADAH SOLAT, PUASA, ZAKAT, DAN HAJI
*         Solat
Dalam solat jelas tergambar ibadah lisan dengan membaca ayat-ayat Al-Quran, bertakbir, bertasbih dan berdoa. Demikian juga dengan ibadah perbuatan dengan berdiri, duduk, ruku dan sujud. Terdapat di sana ibadah aqal dengan berfikir, dan merenung makna Al-Quran. Di sana terdapat ibadah hati dengan ikhlas, khusyu mencintai Allah dan merasakan Allah senantiasa memerhati dan mengamati amal hambaNya.
 Solat juga menjadikan seseorang itu benar-benar menyedari kedudukannya sebagai hamba Allah. Setiap kali dia bertakbir, maka ia mengingatkan dirinya tentang kebesaran Allah. Rasa takut dan berharap terhadap Allah yang ditanam oleh ibadah solat ini akan memimpin di dalam seluruh hidupnya hinggakan seluruh tindak-tanduknya dipengaruhi oleh sifat-sifat yang terkandung di dalam solat tersebut.
*         Zakat
Zakat bereti kesucian dan kebersihan. Ini bererti kesucian dan kebersihan jiwa seseorang mukmin tidak mungkin dapat dicapai tanpa dia memberikan hak saudara-saudaranya yang miskin terhadap harta bendanya melalui zakat. Oleh itu di dalam Islam zakat adalah satu asas persaudaraan Islam. Ia melenyapkan sikap mementingkan diri sendiri yang selalu menjadi punca kelemahan sesuatu masyarakat. Zakat adalah di antara asas penting bagi penubuhan sebuah masyarakat Islam yang bertaqwa.
*         Puasa
Matlamat utama puasa ialah supaya kita menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah subhaanahu wa taaala. Sebagaimana firman Allah:
  Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.
 Dalam ibadah puasa, orang-orang beriman dilatih supaya bersedia untuk berkorban demi untuk kepentingan Islam melalui menanggung kesusahan, kelaparan, kedahagaan dan keletihan. Puasa yang disyariatkan sebulan penuh bertujuan untuk meningkatkan dalam diri mukmin daya juang, keikhlasan dan sifat konsisten (istiqamah) yang mana kesemuanya akan menambahkan ketaqwaan kepada Allah subhaanahu wa taaala.
*         Haji
Allah telah berfirman:
  Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. (Al-Hajj:27)
 Seseorang Mukmin yang telah melalui seluruh proses haji ini kan kekal bersama-sama pengalaman melaksanakan ibadah tersebut. Hinggakan kesannya tidak akan hilang selama bertahun-tahun. Malahan hatinya akan sentiasa rindu untuk terus berkunjung semula ke Tanah Suci demi untuk mencurahkan rasa kecintaannya kepada Allah di Baitullah.

KEPENTINGAN IBADAH DALAM MEMBINA UMMAH
Tiang-tiang ibadah mengembangkan kebaikannya kepada seluruh ruang lingkup kehidupan manusia sehingga manusia dibanjiri dengan kebaikan dan kemanfaatan melaluinya. Solat yang benar-benar khusyu akan mempengaruhi seluruh kehidupan seseorang itu sehingga ia merasakan jijik untuk dan benci untuk melakukan sebarang kejahatan dan kemungkaran. Sebagaimana firman Allah:
  Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (Al-Ankabut:45)
 Ruh yang dibawa oleh sistem zakat pula mengembangkan daya kerja yang tinggi di kalangan orang-orang beriman. Orang yang benar-benar beriman menganggap bekerja dan menambah rezeki adalah dengan satu tujuan sahaja iaitu untuk mendapatkan keredhaan Allah dengan mengeluarkan sebahagian daripada pendapatan yang diperolehi ke jalan Allah iaitu dengan memberikan sedekah dan membayar zakat dan jihad fisabilillah.
 Tujuan utama puasa pula ialah untuk mewujudkan taqwa kepada para mukmin. Puasa yang mengukuhkan sifat taqwa di dalam jiwa mukmin akan menjadikan seseorang itu ikhlas dengan sepenuh hatinya dalm melaksanakan segala perintah Allah, sanggup melakukan tugas-tugas yang berat dalam mentaati Allah dan lebih mengutamakan kepentingan ummat Islam daripada kepentingan peribadinya.
 Manfaat haji yang besar adalah dorongan bagi seluruh ummat Islam mengukuhkan kesatuan Muslim. Kesatuan ummat Islam merupakan tunjang kekuatan yang paling utama yang dapat memimpin ummat manusia.
 Kesimpulannya, setiap ibadah itu jika dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh akan dapat melahirkan ummah yang kuat, bersatu dan diredhai oleh Allah subhaanahu wa taaala.

BAHAN RUJUKAN
1.      Konsep-konsep Umum Islam Abu Urwah
2.      Al-Ibadah Fil Islam Dr Yusuf Al-Qardhawi

SOALAN-SOALAN PERBINCANGAN
1.      Apakah yang dimaksudkan dengan ibadah dalam Islam?
2.      Apakah yang anda faham dengan ibadah umum dan ibadah khusus?
3.      Apakah unsur-unsur yang perlu diberi perhatian untuk memastikan sesuatu amal itu mendapat taraf ibadah?
4.      Mengapakah ibadat itu penting?




No comments:

Post a Comment