Pages

Saturday, April 17, 2010

Part 4 : IMAN DAN PERKARA YANG BERKAITAN DENGANNYA

IMAN DAN PERKARA YANG BERKAITAN DENGANNYA

OBJEKTIF
1.      Ahli usrah mengetahui perkara-perkara yang membatalkan syahadah dan sentiasa berhati-hati agar tidak melakukannya.
2.      Ahli usrah memahami dengan baik konsep iman.
3.      Ahli usrah mengetahui sifat iman yang bertambah dan berkurang dan mengetahui cara-cara untuk meningkatkan iman.
4.      Ahli usrah memahami konsep kufur, syirik, murtad, nifaq, dan fasiq; dan senantiasa berwaspada agar tidak terlibat dengannya.

KANDUNGAN
1.      Perkara yang membatalkan syahadah (1-20)
2.      Iman Pengertian
3.      Iman bertambah dan berkurang
4.      Cara menambahkan iman
5.      Cra pembatalan iman
6.      Kufur Pengertian
7.      Pembahagian kufur
8.      Syirik, murtad, nifaq dan fasiq pengertian dan perbahasan

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN SYAHADAH
*         Bertawakkal dan bergantung kepada selain daripada Allah.
*         Ingkar nikmat Allah samaada yang terang atau yang sembunyi, yang mudah difikirkan atau yang memerlukan kajian.
*         Bekerja atau berkhidmat dengan tujuan selain daripada Allah kerana Allah tidak menyukainya.
*         Menggubal undang-undang mengikut kemahuan manusia bukan mengikut ketentuan Allah.
*         Menumpukan segala ketaatan kepada selain Allah dengan cara yang tidak disukaiNya.
*         Menjalankan hukum selain dari hukum Allah atau tidak merujuk kepada hukum Allah dalam sesuatu perkara.
*         Benci atau menentang sesuatu perkara yang berhubung dengan Islam atau menbenci agama Islam seluruhnya.
*         Mencintai kehidupan dunia mengatasi kecintaan akhirat dan menjadikan dunia ini sebagai matlamat utama yang unggul dalam hidupnya.
*         Menghina sesuatu daripada kitab Allah atau sunnah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam atau orang-orang alim yang menegakkannya  atau mempersendakan hukum-hukum daripada hukum Allah atau syiar-syiar Islam.
*         Menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan sebaliknya.
*         Tidak beriman dengan semua sumber-sumber (punca) hukum daripada kitab Allah dan As-Sunnah.
*         Melantik orang-orang kafir dan munafiq menjadi pemimpin serta tidak mencintai orang-orang yang beraqidah Islam dan mukmin.
*         Tidak beradab dalam pergaulan dengan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.
*         Rasa takut, lemah hati di dalam menegakkan Tauhidullah dan rasa lapang, terbuka dan riang dalam menegakkan perkara-perkara syirik.
*         Menyatakan bahawa Al-Quran terdapat pertentangan di antara ayat yang dan isi yang terkandung di dalam ayat itu.
*         Tidak mengetahui tentang marifat Allah dan pengenalan yang jelas serta ingkar dengan sifat-sifat ketuhananNya dan ingkar nama-namaNya.
*         Tidak mengetahui atau mengenali Rasul dengan betul atau menafikan adanya sifat-sifat yang terpuji yang diberikan oleh Allah kepadanya atau menghina sifat-sifat kepujian atau mengitiqad bahawa baginda adalah contoh utama bagi manusia.
*         Mengkafirkan orang yang mengucap dua kalimah syahadah serta tidak mengkafirkan orang yang telah ingkar syahadah dan tidak menghalalkan berperang dengan mereka.
*         Membuat sesuatu pekerjaan (ibadah) bukan kerana Allah, sujud dan tawaf berkiblatkan kepada selain Baitullah dengan niat mendekati Allah.
*         Banyak jenis syirik yang menggugurkan syahadatain yang dinamakan syirik kecil seperti mengerjakan solat kerana hendak mendapatkan pujian, bersedekah kerana sungutan orang atau supaya orang datang kepadanya seolah-olah dia berjihad iaitu supaya orang mengenag jasa dan namanya.

PENGERTIAN IMAN
 Kalimah iman berasal daripada kata akar (al-amanu) yang bererti aman; iaitu ketiadaan rasa takut. Pecahan kalimah (al-amana) pula terdiri daripada kalimah-kalimah (al-amaanu), (al-amaanatu) dan (al-amiinu). Kesemuanya mengandungi makna induk iaitu: keamanan daripada rasa takut dan bimbang dan aman daripada dusta dan penipuan. Ia juga memberi makna kedamaian dan ketenangan jiwa.
 Daripada kalimah (al-amanu) ini lahirlah kalimah (al-iimaan) yang mengandungi beberapa makna. Di antaranya kalimah iman ini membawa maksud: mengitiraf, mengakui dan membenarkan sesuatu tanpa mendustakannya. Iman dalam pengertian bahasa mengandungi makna-makna: ketenangan, rasa penuh percaya, tiada keresahan jiwa, kesihatan aqal serta aman damai daripada takut dan bimbang.
 Daripada segi istilah pula, iman bermaksud: membenarkan (tasdiq) iaitu beritiqad dengan hati dengan segala yang diketahui ianya daripada deen Islam yang dibawa oleh Nabi sallallahu alaihi wasallam serta berikrar dengan lidah dan beramal dengan seluruh anggota badan.

CARA MENAMBAH IMAN
 Ada beberapa perkara yang menyebabkan bertambahnya iman seseorang:
*         Ilmu
Ilmu yang dimaksudkan di sini ialah:
1.      Ilmu yang berkaitan dengan Allah, nama-namaNya serta sifat-sifatNya, perbuatan-perbuatanNya dan nikmat-nikmatNya.
2.      Ilmu yang berkaitan dengan Rasulullah, akhlak-akhlak beliau, manhaj hidup serta syariatnya, serta perjalanan hidupnya dalam masalah ibadahnya, perjuangan dan juga muaamalahnya.
3.      Ilmu yang berkaitan dengan kitaabullah yang mengandungi berita-berita, contoh-contoh, hukum, pengajaran, perbezaan dan lain-lain lagi.
*         Amal perbuatan
 Amal perbuatan yang dimaksudkan di sini ialah membanyakkan amalan-amalan soleh serta menperdalami ketaatan sehingga menambahkan keyakinan dan memperkukuhkan keimanan serta menghindari diri daripada perkara-perkara yang boleh menjerumuskan ke dalam nafsu syahwat serta kemaksiatan-kemaksiatan lainnya yang boleh melemahkan iman.
*         Zikir dan fikir
 Zikir ialah mengingati Allah serta sifat-sifatNya, apa-apa yang berkaitan dengan keagunganNya dan membaca kalam-kalamNya sehingga hati kita senantiasa ingat kepadaNya. Fakir pula ialah aktiviti yang membawa kepada renungan terhadap ciptaanNya serta memandang kepada Allah dengan memikirkan mukjizat-mukjizatNyaa sehingga dapat membuahkan iman kepada Allah, iaitu merasakan kekuasaan dan keagunganNya. Cara pandang yang demikian itulah yang disebutkan dengan tafkir dan itibar.
CARA PEMBATALAN IMAN BERLAKU
 Empat batas utama yang menjadikan terbatalnya iman seseorang itu ialah:
*         Mengingkari atau mencela sifat rububiyyah Allah.
*         Mengingkari atau mencela nama-nama Allah serta sifat-sfatNya.
*         Mengingkari atau mencela sifat uluhiyyah Allah.
*         Mengingkari atau mencela Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, kerasulannya, dan apa-apa yang dibawanya dalam bentuk syariat atau lain-lainnya.
 Keempat-empat perkara tersebut berlaku dengan itiqad, perkataan dan perbuatan di mana sesiapa sahaja yang melakukannya maka terbatallah imannya dan terkeluarlah ia daripada Islam dan syahadahnya.

PENGERTIAN KUFUR
 Kufur ialah tidak beriman kepada keesaan Allah, atau kenabian, atau syariat, atau ketiga-tiganya sekali.

PEMBAHAGIAN KUFUR
 Ibn. Manzur dalam Lisan Al-Arab telah membahagikan kufur itu kepada empat bahagian iaitu:
*         Kufur ingkar
Iaitu kufur di dalam hati dan lidah. Sebagaimana firman Allah subhaanahu wa taaala:
  Sesungguhnya orang-orang kafir itu sama sahaja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak, mereka tidak juga beriman. (Al-Baqarah:6)
*         Kufur juhud
Iaitu mengakui dengan hati tanpa ikrar dengan lidah. Contonya seperti kufurnya iblis dan kufurnya Umayyah Bin Abi Al-Salt.
*         Kufur
Iaitu mengaku dengan hati, ikrar dengan lidah tetapi tidak menunaikan kehendak-kehendak agama kerana dengki dan sombong seperti kufur Abu Jahal dan kuncu-kuncunya.
*         Kufur nifaq
Iaitu mengakui dengan lidah, tetapi kufur dan tidak bertekad di dalam hatinya. Di dalam kita Al-Tahzib ada menyebutkan bahawa: Mengaku dengan hati dan ikrar dengan lidah, tetapi enggang menerima Islam, ini seperti kafirnya Abu Talb, yang mana beliau berkata: Saya akui bahawa agama Muhammad adalah sebaik-baik agama, jika tidak kerana celaan dan cacian tentu aku terimanya (memeluk Islam).
SYIRIK, MURTAD, NIFAQ, FASIQ
*         Syirik
Syirik bermakna mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain daripada sifat uluhiyyahnya (berhak disembah, dicintai, dipatuhi perintahNya dan didoakan kepadaNya) ataupun sifat rububiyyahnya (menjadikan, mentadbir, dan menguruskan alam). Sesiapa yang menganggap mana-mana satu daripada sifat-sifat yang tersebut itu ada pada selain daripada Allah, sesungguhnya dia telah melakukan syirik dengan Allah walaupun dia pada masa itu masih mengaku beriman dengan Allah. Sebagaimana firman Allah subhaanahu wa taaala:
  Dan (orang yang beriman kepada Allah), kebanyakannya tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukannya juga dengan yang lain.
 Perkataan kufur juga mempunyai makna yang sama dengan syirik walaupun terdapat di kalangan ulama yang membezakan di antara kufur dengan syirik tetapi apabila dilihat kepada mafhumnya maka ianya tidaklah mempunyai perbezaan yang boleh dianggap bahawa dua perkataan itu mempunyai makna yang terlalu berlainan. 
*         Murtad
Murtad bermakna kembali setelah Islam. Ijma ulama menyatakan bahawa seseorang Muslim yang ingkar kepada apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah adalah murtad; iaitu kafir setelah Islam kecuali jika dia benar-benar jahil. Tetapi sekiranya diberitahu dan ditegakkan hujjah namun dia masih tetap dengan keingkarannya maka dia dihukumkan dengan kufur dan murtad.
*         Nifaq
Nifaq ialah sifat dan amalan yang dilahirkan oleh seseorang yang berupa amalan dan sifat seorang Muslim pada zahirnya tetapi hakikatnya dan juga apa yang ada di dalam hatinya tidak demikian. Jika apa yang tersembunyi di hatinya itu berupa perasaan yang tidak menafikan iman, maka tidaklah menjadi kufur. Sekiranya terdapat perasaan yang menafikan iman walaupun lidahnya berikrar, maka dia tidak beriman di sisi Allah. Tetapi di kalangan kita, dia adalah orang Islam, bermuamalah dengannya sebagai seorang Islam selagi tidak lahir kekufurannya. Sesungguhnya Allah hanya memberitahu kepada kita tand-tandanya sahaja dan terserahlah kepada si munafiq itu untuk menyedari bahawa sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala yang tersembunyi di hatinya. Di dalam Al-Quran, Allah telah mendedahkan sifat-sifat orang munafiq seperti berikut:
  Dan di antara manusia ada yang mengatakan: Kami beriman kepada Allah dan hari akhirat, padahal mereka bukanlah oran yang beriman. Mereka hendak menipu Allah, padahal mereka menipu diri mereka sendiri sedangkan mereka tidak sedar.
*         Fasiq
Fasiq pada umunya ialah maksiat, meninggalkan perintah Allah, dan keluar dari jalan yang dibenarkan. Di dalam Al-Quran, istilah fasiq ini digunakan bagi menerangkan perbuatan-perbuatan tersebut:
1.      Maksiat kepada Allah dalam meninggalkan tauhid, maka ini adalah syirik (As-Sajadah:18)
2.      Maksiat kepada apa yang dibawa oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, maka ini adalah kufur (At-Taubah:80)
3.      Maksiat kepada Deen tanpa syirik dan kufur (Al-Maidah:25)

BAHAN RUJUKAN
1.      Muqaddimah Aqidah Muslim Haji Abdul Hadi Haji Awang
2.      Rukun-rukun Islam dan Pengertian Syahadah Said Hawwa
3.      ILHAM Bahan Kendiri PJJ
4.      Garis Pemisah Antara Kufur dan Iman Dr Abdul Rahman Abdul Khalid

SOALAN-SOALAN PERBINCANGAN
1.      Merujuk kepada situasi masyarakat kita hari ini, sila kenal pasti beberapa perkara yang boleh membatalkan syahadah.
2.      Jelaskan konsep iman yang anda fahami.
3.      Apakah sifat-sifat iman?
4.      Bagaimanakah caranya untuk kita meningkatkan iman?
5.      Jelaskan pengertian kufur, syirik, murtad, nifaq, dan fasiq.
6.      Berikan contoh-contoh yang menjebakkan manusia moden hari ini ke dalam penyakit aqidah seperti di atas.



No comments:

Post a Comment