Pages

Saturday, January 15, 2011

[usrah INSPIRE] Niat - 30 Disember 2010

Assalamualaikum semua ^_^ Apa Ceriter Usrah kita???

 

Alhamdulillah..pada 30 December 2010 lepas usrah pertama untuk sem ini telah diadakan di EDU LR 3 yang dihadiri seramai 36 orang ahli Inspire.
Usrah dimulakan oleh kak nisa untuk menerangkan dan mengingatkan tentang maksud, tujuan dan kepentingan usrah dalam satu organisasi.

• Perkataan usrah berasal dari kalimah Arab, الأسرة ( yang bermaksud keluarga. Manakala menurut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, keluarga bermaksud kaum, saudara mara, kaum kerabat, sanak saudara atau ia disebut sebagai Famili.
• Pembentukan Usrah yang pertama yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w ialah di rumah al-Arqam bin Abi –Arqam. Rasul mengajar mereka yang hadir setiap ayat Quran yang diturunkan. Baginda juga menekankan proses pembinaan sifat-sifat luhur seperti baik hati,amanah, bertanggungjawab, bercakap benar, berani dan sebagainya di dalam diri para sahabat.

• Jelaslah di sini bahawa ‘usrah’ bukan sahaja tempat untuk menyampaikan atau mendapatkan ilmu, malahan ia merupakan tempat untuk sesama ahli kumpulan membincangkan sesuatu masalah yang timbul dan juga tempat untuk membentuk peribadi dan sahsiah ahli usrah dan bertolong-tolong apabila ada ahli yang ditimpa kesusahan. Usrah juga merupakan satu medium dakwah untuk berdialog mengenai Islam secara dinamik. Dengan ini ia dapat meningkatkan mutu ukhuwah atau persaudaraan.

Diteruskan dengan bacaan hadith 1 yang berkaitan dengan niat untuk memperbetulkan niat serta mengingatkan tentang kepentingan niat dalam setiap amalan.

Antara isi dan hasil perkongsian daripada beberapa ahli yang hadir dapat disimpulkan:
• Sebab keluar hadis ini-kisah Hijrah Ummu Qais
• Amalan baik mesti disertakan niat yang baik. Amalan yang buruk atau amalan yang baik tetapi dijalankan tidak mengikut aturan syara’, tidak membawa apa-apa faedah walaupun dilakukan dengan niat yang baik.
• Ulama ada berkata: Boleh jadi sesuatu amalan kecil menjadi besar kerana niat dan suatu amalan yang besar menjadi kecil kerana niat.• Niat tidak menghalalkan cara
• Sentiasa ikhlaskan niat dalam melakukan apa-ape amalan tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

“Fake it till you make it”
- cuba dan usaha untuk berubah kearah kebaikan perlahan-lahan/secara berperingkat.
- walaupun pura-pura ia adalah salah satu cara/usaha untuk mendapat hidayah Allah.
- bukan hipokrit apabila berpura-pura menjadi baik kerana fitrah manusia suka akan kebaikan.
- apabila diperli kerana perubahan itu, anggaplah ia ujian daripada Allah untuk menguji tahap kesabaran dan keikhlasan hambanya.

“Niat vs sesuatu yang terlintas difikiran”Contohnya: terlintas bahawa Jesus seperti dikatakan oleh orang kristian dan konsep trinity adalah benar.
- Pandang dan fikir Jesus(Nabi Isa a.s.) dari sudut pandangan Islam
- Fikir dan kaji agama lain dari perspektif Islam dan bukan dari pandangan agama tersebut.
Niat kita, Hidup kitaSumber : SOLUSI Isu no.27
Ruangan:MAHMUDAH
Oleh : Umar Muhammad Noor
 
Suatu hari, seorang lelaki datang kepada Sufyan bin ‘Uyainah untuk menyatakan keluhan keadaan hidupnya. Ia berkata, “Wahai Abu Muhammad, aku mengeluh akan sikap isteriku. Dia memperlakukanku dengan sangat buruk. Seolah-olah, aku adalah orang yang paling hina dan tak berharga di matanya.” Mendengar ini, Ibn ‘Uyainah tertunduk diam. Sekian lama beliau tidak mengucapkan satu kalimat pun. Kemudian beliau mengangkat kepala dan berkata, “Apa motivasi kamu apabila menikahi isterimu itu? Apakah agar engkau mendapat kemuliaan kerana status keluarganya?” Lelaki itu mengiakannya. Ibn ‘Uyainah berkata:” Orang yang menginginkan kemuliaan, akan diberikan kehinaan. Orang yang menginginkan kekayaan, akan diberikan kefakiran. Dan orang yang menginginkan kesolehan, maka Allah akan himpunkan untuknya kemuliaan dan kekayaan.” Beliau kemudian bercerita: “Saya memiliki 3 orang adik-beradik, iaitu Muhammad, Imran dan Ibrahim. Muhammad anak yang paling tua, Imran yang paling bongsu dan aku anak pertengahan. “Apabila Muhammad hendak berkahwin, dia menginginkan kemuliaan. Beliau lalu mencari pasangan dari keluarga yang lebih tinggi status sosialnya. Akhirnya, dia diperlakukan dengan sangat hina oleh isteri dan keluarga isterinya.” “Imran menginginkan kekayaan, maka dia mencari pasangan yang berasal dari keluarga kaya. Akhirnya, ia jatuh dalam kefakiran. Mereka merampas semua hartanya dan tidak meninggalkan sedikit pun untuk dirinya.” Ibn ‘Uyainah melanjutkan: “Beberapa lama kemudian, kebetulan Ma’mar bin Rasyid dating ke negeri kami. Aku lalu meminta nasihat daripadanya sambil menceritakan kisah kedua-dua orang saudaraku itu. Beliau lalu menyampaikan kepadaku hadis Yahya bin Ja’dah: ‘seorang wanita dinikahi kerana 4 perkara,iaitu kerana hartanya, kemuliaanya dan kerana kecantikannya. Maka carilah wanita yang soleh, nescaya engkau akan beruntung.’ Juga hadis Aisyah : ‘Wanita yang paling besar keberkatanya adalah orang yang paling sedikit biaya maharnya.’

Kisah ini mengajar kita sesuatu yang sangat berharga: Niat sangat menentukan hidup kita. Dan Allah memperlakukan kita sesuai dengan niat kita.” Tidak terkira berapa banyak orang yang sengsara dalam mengharungi bahtera hidup ini lantaran keliru memasang niat di awal perjalanan.

Orang yang “tersalah niat” dalam mencari harta akan hidup bagai hamba sahaya. Ia melihat wang dan kekayaan sebagai tujuan utama sehingga sentiasa dibayangi kefakiran dan takut miskin. Berkata Abu Hazim Salamah bin Dinar:”Allah mewahyukan kepada dunia: ‘Siapa yang melayanimu, maka penatkanlah dia. Dan siapa yang melayani-Ku,maka layanilah dia’ “ (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Zuhd al-Kabir).

Orang yang “tersalah niat” dalam belajar menghabiskan hidupnya untuk perkara yang sia-sia. Ia membuang energy untuk mengejar ijazah, bukan untuk menimba ilmu. Padahal selembar kertas hanya memberikan kemuliaan palsu, bukan hakiki. Kaum muslimin khasnya, dan masyarakat dunia amnya, memuliakan seseorang kerana sumbangan yang diberikan, bukan kerana ijazah yang dipegang.

Orang yang “tersalah niat” dalam dakwah akan hidup dalam kebencian. Masyarakat membencinya dan ia membenci mereka. Hakikat dakwah adalah simpati yang lahir dalam hati seseorang lalu mendorongnya untuk menyelamatkan manusia daripada kesesatan dan kebinasaan. Jika dakwah berakhir dengan kebencian, mesti ada yang salah dalam motif dan niat awal dakwah tersebut.

Seterusnya adalah perkongsian artikel oleh Afnan dari http://muharikah.wordpress.com/ . Isu yang diutarakan ialah mengenai “saya sudah bosan dengan usrah. Saya tak dapat apa-apa dari usrah…”. Antara isi penyelesaian yang disampaikan:
• Hormat orang lain yang sedang berdakwah dan saling membantu untuk berdakwah.
• Istigfar dan muhasabah diri. Datang usrah bukan sekadar untuk mendengar dan menerima tetapi berkongsi dan memberi. Niatkan untuk berdakwah dan komited pada dakwah.
• Fikirkan ganjaran setiap langkah untuk ke usrah dan berdakwah.

Kemudian diteruskan oleh Suhairi untuk berkongsi tentang kelebihan majlis ilmu iaitu malaikat akan memayungi orang yang menuntut ilmu. Antara signifikasi perlindungan malaikat:

1. Manusia ciptaan Allah yang paling sempurna dan merupakan sebaik-baik kejadian. Namun, manusia juga serba lemah dan kekurangan.
• Manusia tidak mengetahui apa yang akan berlaku pada masa akan datang walaupun hanye sesaat.
• Oleh itu, berkat perlindungan malaikat, ini dapat melindungi manusia itu dari keburukan atau bala.
2. Mendapat rahmat yang terus memayungi sehingga sampai ke destinasi.
3. Mendapat sakinah mawaddah (ketenangan dan kasih sayang).
• Didatangkan perasaan sayang pada orang lain dan sayang terhadap agama.
4. Allah merasa bangga dengan manusia.
• Ini kerana sebelum penciptaan manusia, para malaikat mengatakan manusia akan membawa kerosakan

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat , “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi.” Mereka berkata, “Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merusak dan menumpahkan darah disana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?” Dia berfirman,” Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”(Al-Baqarah(2):30)

Selapas itu, diteruskan dengan tafsir surah al-Hujuraat(49): 9-12
(9) “Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

(10) “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”

(11) “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) nencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”

(12) “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
 
Dapat diringkaskan mengenai ayat ini ialah tentang konsep adab sesama manusia.
• Sebaiknya manusia bersikap sederhana dalam setiap aspek dalam kehidupan.
• Sesame saudara tidak sepatutnye bertelingkah melebihi 3 hari.
• Sesame manusia juga tidak boleh mencemuh antara satu sama lain.
• Tutup aib orang lain supaya Allah juga menutup aib kita diakhirat.

Usrah diteruskan dengan perbincangan isu semasa oleh Juliana. Antara intipatinya :
• Manusia sering taksub dengan kejadian-kejadian luar biasa yang berlaku di muka bumi. Oleh itu, ta’jub dengan kebesaran Allah adalah lebih baik daripada taksub dengan perkara yang boleh membawa kepada syirik.

Wallahu’alam.
 
Disediakan oleh: ctrazifah
Sumber: usrah 30 disember 2010http://www.hep.unisel.edu.my/
http://muharikah.wordpress.com/
SOLUSI Isu no.27
By: Biro Dakwah & Tarbiyah, INSPIRE Club, IIUM.

No comments:

Post a Comment