Pages

Wednesday, July 7, 2010

~TANDA SAYANG-NYA~




“Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan; dan kepada Kami-lah kamu semua akan dikembalikan.”
– Al-Qur’anul Karim; Surah Al-Anbiyaa’ ayat 35.

Al-Hafiz Ibn Katsir dalam memberikan penerangan terhadap ayat ini menyatakan bahawa Allah menguji hambanya dengan musibah pada satu waktu, dan kemudian dengan nikmat pada waktu yang lain, untuk melihat siapa yang bersyukur dan siapa yang kufur, siapa pula yang sabar, dan siapa yang putus harap.

UJIAN BERBEZA UNTUK MENGUKUR KEIMANAN

Allah tidak memberi kesusahan seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya.
- Al-Qur’anul Karim; Surah Al-Baqarah (2) ayat 233

Dari ayat tersebut dapat kita ketahui bahawa ujian yang dikenakan kepada setiap hamba, adalah bersesuaian dengan apa yang mampu ditanggungnya. Dan setiap orang pula berbeza tahap tanggungannya dan penerimaan mereka terhadap ujian serta dugaan.

Ujian yang diberikan juga adalah untuk mengukur tahap keimanan seorang hamba.

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta.
- Al-Qur’anul Karim; Surah Al-Ankabut ayat 2-3

GANJARAN MENANTI PASTI

Rasulullah SAW menyifatan bahawa ujian yang diberikan kepada kaum manusia adalah tanda kecintaan Allah kepada mereka. Dan semakin besar dugaan yang diberikan oleh Allah kepada manusia, menandakan besar juga pahala yang diperoleh.

“Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya bala’ yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka akan mereka itu diberi dugaan. Oleh sebab itu barangsiapa yang redha – dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh keredhaan Allah dan barangsiapa yang tidak maka padanya kemurkaan Allah.
- Riwayat At-Tirmidzi, dinilai hasan oleh Albani.

Jika dia beriman, maka dia akan menerimanya dengan keredhaan. Dan padanya rahmat Allah Azza wa Jalla serta keredhaan-Nya.

Dalam ayat ke-214 surah al-Baqarah, ada dinyatakan bahawa orang yang diuji itu akan mendapat pertolongan daripada Allah serta akan diganjari dengan syurga;

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).
- Al-Qur’anul Karim; Surah Al-Baqarah (2) ayat 214

SABAR SEBAGAI PELAMPUNG BAGI ORANG BERIMAN

“Hai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersedia dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung.”
- Al-Qur’anul Karim; Surah Aali ‘Imraan ayat 200

Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menyukai orang yang bersabar. Ini adalah sebagaimana yang datang di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas;

Rasulullah SAW berkata kepada Al-A-syaj Abdul Qays; “Sesungguhnya pada dirimu terdapat dua perkara yang dicintai oleh Allah, iaitu kesabaran serta lemah lembut.”
- Riwayat Muslim

KAEDAH BERSABAR

Rasulullah melalui satu hadith mengisyaratkan bersabar itu perlulah pada awal kejadian atau pada kejadian yang pertama.

“Bersabar itu adalah pada pukulan yang pertama.”
- Riwayat Muslim

KESIMPULAN

Dan bersabarlah! Kerana Allah bersama-sama orang yang sabar!

“Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar.”
- Al-Qur’anul Karim; Surah Al-Baqarah ayat 153

No comments:

Post a Comment