Pages

Tuesday, June 29, 2010

Nikah, Nafkah, Mukjizat dan Karamah

“Masalah kamu dengan  bos sudah selesaikah?” emak bertanya kepada Ahmad.
“Sudah” jawab si anak.
Pantas.
“Hai, senang pula selesainya. Kamu buat macam mana?” tanya emak lagi.
“Berhenti kerja!” balas Ahmad.
“Astaghfirullah! Berhenti kerja lagi? Habis kamu menganggurlah sekarang?” emak terkejut dengan jawapan anaknya itu.

Sudah banyak kali Ahmad berhenti kerja. Usia sudah lanjut. Tetapi masih kelihatannya tidak stabil. Tidak sesuai bekerja, berhenti. Tidak betah saban hari diarah, berhenti. Senang sungguh berhenti kerja. Jauh lebih senang berbanding mencari kerja baru.
“Habis, sudah ada kerjakah?” emak susah hati.
“Esok-esok ada la tu, mak!” tegas Ahmad.
Si ibu hanya mampu menggelengkan kepala. Risau memikirkan tabiat Ahmad. Anak lelaki yang seorang ini seperti masih belum pasti apa yang dimahukannya di dalam hidup. Usia sudah lanjut. Kerja masih tidak menentu.
Lebih merisaukan benak hati si ibu, tanpa wang bagaimanakah Ahmad akan berkahwin?
SUMBATAN MINDA

“Sebab itu saya tidak dapat menerima pandangan ustaz bahawa sebelum bernikah, kena pastikan terlebih dahulu ada duit untuk hantaran, mas kahwin, kenduri dan sebagainya. Bukankah ini menyalahi Sunnah?” seorang anak muda membantah pandangan saya.
“Benarkah saya bermaksud begitu?” saya menyoalnya semula.
“Itu yang ustaz sebut dan tulis!” tegas beliau.
“Wallaahi, itu tidak pernah menjadi maksud tulisan ana” saya menafikannya.
Habis, bagaimana ustaz memahami firman Allah di dalam Surah al-Nur ayat 32?” beliau memanjangkan soalan.
“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui” [al-Nur 24: 32]
“Maksud kamu, perkahwinan memberikan kekayaan harta?” saya inginkan kepastian.
“Benar” jawab beliau.
“Berapa ramai orang yang berkahwin tetapi tidak kaya-kaya dan mati dalam kemiskinan? Sedikit atau ramai?” saya menyambung soalan.
Beliau diam.
Bagaimana mungkin seorang anak muda yang begitu idealistik dalam pemahamannya terhadap Sunnah, terus beranggapan bahawa tatkala nas menyebut tentang kekayaan, ia terus sahaja bermaksud kekayaan harta? Bukankah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda:

“Bukanlah dikatakan kaya itu sebagai banyak harta. Akan tetapi kekayaan sebenar itu adalah kekayaan jiwa” [al-Bukhari 6446]
Justeru, janji Allah untuk membantu memberikan kekayaan kepada orang yang bernikah itu mesti dilihat daripada dua sudut.
Sudut pertama, kekayaan yang dikurniakan itu berupa kekayaan jiwa dalam bentuk sifat Qana’ah. Al-Samarqandi pernah menyebut berkenaan ayat 32 Surah al-Nur itu bahawa, “kekayaan mempunyai dua keadaan. Pertama, kekayaan harta dan itu adalah selemah-lemah makna kekayaan. Kedua adalah sifat Qana’ah dan itu adalah sekuat-kuat makna Qana’ah”. Malah al-Qurtubhi juga pernah memberikan ulasan bahawa yang dikatakan nikah itu mengurniakan kekayaan kepada si miskin ialah kerana si miskin itu dianugerahkan pilihan yang HALAL iaitu NIKAH berbanding ZINA.
Oleh yang demikian, untuk mengambil Surah al-Nur ayat 32 itu sebagai jawapan simplistik bahawa kemiskinan boleh dirawat dengan nikah, seorang anak muda yang datang melenggang dengan hajat meminang, mestilah mempunyai jawapan yang jelas tentang ASBAB berupa IKHTIAR dirinya untuk mengambil alih tugas bapa yang memberi nafkah kepada perempuan yang mahu dipinangnya itu.
RAWATAN KEMISKINAN
“Mengapa kamu belum bernikah?” Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanya.
“Aku fakir” jawab pemuda itu.
“Mengapa kamu belum bernikah?” Baginda menyoal lagi.
“Aku fakir” pemuda itu memberikan jawapan yang sama.
“Mengapa kamu belum bernikah?” Baginda mengulang soalan yang sama buat kali yang ketiga.
Pemuda itu tidak berani mengulang jawapan yang sama.
“Ya Rasulallah. Aku memang mahu bernikah. Carikanlah buatku seorang isteri!” jawab anak muda itu.
“Kamu pergilah ke sebuah kampung di sana. Nyatakan kepada orang kampung itu bahawa Rasulullah menyuruh mereka mengahwinkan seorang anak gadis kampung itu denganmu” arah Rasulullah sallalaahu ‘alayhi wa sallam.
Pemuda itu pergi ke kampung tersebut, menyatakan mesej yang dibawanya kepada penduduk di situ. Dia kemudiannya kembali kepada Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan sebuah persoalan.
“Aku tidak punya apa-apa untuk dijadikan mas kahwin” adu beliau.
“Carilah sebentuk cincin besi!” Baginda mengajar.
Sungguh unik. Seorang anak muda yang miskin, diperintahkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam supaya bernikah. Tidakkah nikah itu memerlukan perbelanjaan? Bukankah selepas nikah, lelaki fakir itu memikul tanggungjawab memberi nafkah. Apa yang mahu disumbat ke mulut isteri?
TELADAN

Kisah pemuda itu tidak harus dipandang mudah pada sekadar bermaksud gesaan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam agar bernikah.
Bagaimana Baginda berulang kali bertanya soalan yang sama mengapa beliau belum berkahwin? Jawapan yang diberi adalah kemiskinan. Tidak berkahwin dan miskin bukanlah masalah paling utama dalam situasi anak muda tersebut. Sebaliknya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam mahu menolak anak muda itu KELUAR DARI ZON SELESA beliau agar:
  1. Usahakan mencari calon
  2. Usahakan mas kahwin walaupun sekadar sebentuk cincin besi
Kata kuncinya, BERUSAHA.
Lelaki itu kelihatannya selesa dengan keadaan dirinya yang miskin. Benar sekali dalam hidup ini, ada yang lebih susah daripada susah, iaitu BERUBAH. Sehingga ada manusia yang lebih rela untuk terus hidup susah berbanding membuat perubahan. Di dalam kes anak muda ini, NIKAH menjadi DORONGAN untuk memaksa pemuda itu membuat perubahan. Usaha cari calon. Usaha dapatkan cincin besi. Pokoknya, kamu kena bangkit berusaha.
Demikianlah perkahwinan mampu mengubah ‘nasib’ seseorang. Jika semasa bujang dia boleh membiarkan dirinya miskin melarat, bekerja bila mahu dan berhenti kerja sesuka hati, pilihan itu tidak ada bagi seorang yang bernikah dan sedar akan tanggungjawabnya. Ada mulut yang mahu disuap, justeru dia tidak sewenang-wenang membuat keputusan mudah bekerja atau menganggur, sabar dengan karenah di tempat kerja atau berhenti.
Begitulah nikah mencetus perubahan diri.
Justeru, memang wajar seorang bapa menolak pinangan anak muda yang fasih mendatangkan nas tentang tuntutan nikah, tetapi gagal menjawab satu soalan ringkas tetapi penting untuk bapa, “jika kamu bukan Nabi dan Wali yang terkecuali daripada asbab untuk mukjizat dan karamah, apa rancangan kamu untuk mengambil alih tugas aku memberi makan minum kepada anakku?”
Sekali lagi, memahami nas secara kaku menjadi sumbatan minda yang membelenggu!
Ayuh permudahkan nikah, namun jangan memudah-mudahkannya!

No comments:

Post a Comment