Pages

Sunday, June 27, 2010

Dakwah Untuk Semua

dakwah3
Dakwah adalah tujuan hidup terbesar bagi seorang mu’min. Dakwah bukan hanya menyeru manusia untuk solat 5 waktu, berpuasa, berzakat dan menunaikan haji sahaja. Dakwah juga tidak hanya terhad dalam menyeru manusia kepada aktiviti-aktiviti kebaikan dan mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran sahaja, tetapi makna dakwah adalah dalam mengajak manusia seluruhnya untuk bebas daripada perhambaan sesama manusia dan menjadikan sistem Allah yang sempurna sebagai satu-satunya cara hidup bagi manusia seluruhnya.

Dakwah bukanlah hanya milik ustaz-ustaz lulusan Azhar, imam-imam dan AJK masjid, aktivis NGO Islam, dan badan-badan agama sahaja, tetapi ia adalah tanggungjawab bagi setiap muslim. Setiap muslim yang faham akan agamanya tidak perlu merasa malu untuk menerangkan tentang kebaikan Islam dengan apa jua cara sekalipun. Dakwah tidak hanya terhad setakat berceramah, berusrah, berqiamullail dan aktiviti-aktiviti masjid sahaja, dakwah adalah mengajar manusia tentang kesempurnaan Islam dalam segenap aspek kehidupan manusia.
6Setiap muslim boleh melakukan dakwah dengan cara masing-masing dan kemahiran masing-masing yang tersendiri. Ada yang mahir berkata-kata, berdakwahlah dengan lisan; ada yang mahir menulis, berdakwahlah dengan penulisan cerpen, syair, novel atau apa sahaja; ada yang mahir melukis, hasilkanlah karya-karya komik Islam yang membimbing manusia ke arah kebenaran; ada yang mahir dalam Adobe Photoshop, Flash atau 3D Max, berdakwahlah dengan kemahiran seni animasi yang dikurniakan; ada yang mahir bersosial melalui Facebook, Friendster, Twitter, Blogspot dan sebagainya, gunakanlah wasilah itu sebaiknya untuk dakwah; ada yang mahir bersukan, gunakanlah kemahiran sukan untuk dakwah.

Dakwah tidak semestinya dengan kata-kata atau penulisan sahaja, dakwah juga boleh hadir dalam akhlak yang baik di padang bola, teladan yang baik di laman Facebook, pakaian yang menutup aurat ketika bersosial, memelihara waktu solat ketika mesyuarat, lagu-lagu yang mengajak manusia kepada Tuhan dan seribu macam lagi kepelbagaian dakwah dalam segenap aspek kehidupan manusia. 

“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk” (An Nahl: 125-126).
Dakwah adalah milik semua dan untuk semua, tunggu apa lagi, jom berdakwah!

No comments:

Post a Comment